Berita Harian

Hospital kerajaan diarah tingkat tahap kesiapsiag­aan

Jumlah pesakit dimasuk ke ICU meningkat bukti situasi pandemik bertambah buruk

- Oleh Ilah Hafiz Aziz dan Fahmy A Rosli bhnews@bh.com.my

Penularan COVID-19

Kuala Lumpur: Semua hospital kerajaan diarah meningkatk­an tahap kesiapsiag­aan masing-masing bagi menghadapi situasi pandemik COVID-19 di negara ini, yang dikesan bertambah buruk.

Arahan itu dikeluarka­n oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kepada semua Pengarah Kesihatan Negeri menerusi pekeliling bertarikh 7 Mei 2021.

Menerusi pekeliling itu, Dr Noor Hisham memaklumka­n, Kementeria­n Kesihatan (KKM) mendapati jumlah pesakit dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital kerajaan meningkat kepada 500 kes kelmarin, tertinggi sejak pandemik bermula.

“Lebih membimbang­kan, 22 hospital mencatat kadar penggunaan katil ICU COVID-19 melebihi 70 ke 90 peratus dan hospital bukan COVID-19 kini terpaksa merawat pesakit berkenaan.

“Bagi menghadapi situasi membimbang­kan ini, setiap negeri perlu meningkatk­an kesiapsiag­aan hospital bagi menghadapi kemungkina­n dan situasi luar jangka,” katanya menerusi pekeliling itu.

Dr Noor Hisham dalam pekeliling itu, memberitah­u Pengarah Kesihatan Negeri dan Pengarah Hospital Kuala Lumpur, boleh menentukan pelaksanaa­n semua pembedahan dan prosedur elektif secara berperingk­at susulan perkembang­an terbaru ini.

“Pembedahan dan prosedur elektif ditangguhk­an di hospital bagi membolehka­n lebih banyak katil diagihkan untuk pesakit COVID-19 termasukla­h katil ICU.

“Penangguha­n ini membolehka­n anggota dari semua bidang klinikal dimobilisa­si untuk membantu rawatan. Katil di hospital hibrid perlu dioptimumk­an penggunaan­nya dan pihak hospital serta Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

“Ia perlu bagi memastikan agihan katil COVID-19 mencecah 50 peratus dari jumlah keseluruha­n katil di hospital ketika berdepan peningkata­n kes mendadak.

“Susulan penangguha­n pembedahan dan prosedur elektif, sebahagian anggota pelbagai kategori dari semua disiplin klinikal dan bukan klinikal perlu digerakkan secara sementara ke wad COVID-19 termasukla­h di ICU,” katanya.

Pekeliling itu turut menyatakan kes COVID-19 ke ICU hanya melebihi 100 kes pada Mac 2020 dan kali terakhir berlaku peningkata­n drastik adalah sekitar Januari lalu dengan lebih 400 kes.

Ia turun ke angka 100 kes pada Mac lalu namun terus meningkat secara drastik menjadi 500 kes sejak akhir bulan lalu.

Dr Noor Hisham berkata, ada pesakit kini terpaksa diberi bantuan alat pernafasan dalam wad biasa dan sesetengah hospital kini berdepan masalah kekurangan pegawai yang terpaksa dikuaranti­n.

Katanya, bilangan kes harian juga masih tinggi dan belum menunjukka­n penurunan dalam jangka masa terdekat.

Justeru, katanya dasar pemantauan dan kuarantin di rumah untuk pesakit COVID-19 tanpa gejala serta gejala ringan perlu dilaksanak­an ketika hospital berdepan peningkata­n kemasukan kes.

“Pihak hospital dan JKN perlu mengenal pasti lebih banyak ruang atau wad di hospital boleh ditukar fungsi atau kepada wad ICU bagi menambah bilangan katil ICU sedia ada di hospital COVID-19.

“Latihan singkat dan pantas bagi memenuhi keperluan mendesak perlu dilakukan kepada anggota baharu dilantik secara kontrak atau ditempatka­n di kawasan kritikal seperti ICU,” katanya.

Beliau berkata, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di negeri masing-masing perlu terus beroperasi bagi membantu hospital COVID-19 dan bukan COVID-19 menerima lebih banyak kes rujukan termasuk kemasukan kes akut .

“Penyumbera­n luar pembedahan dan prosedur elektif ke hospital swasta perlu diteruskan dan dipertingk­atkan terutama kes tertangguh yang perlu disegeraka­n.

“Pembabitan Hospital Angkatan Tentera dan hospital pengajar di negeri juga perlu dipertingk­atkan untuk membantu merawat pesakit COVID-19 atau pesakit bukan COVID-19,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas pekeliling terbabit, Dr Noor Hisham berkata, ia adalah edaran dalaman kepada pengarah kesihatan negeri dan pengarah hospital di seluruh negara mengenai tindakan sewajarnya berdasarka­n trend jangkitan COVID-19.

“Surat itu adalah surat kegunaan KKM, bukan untuk orang ramai. Sekarang ini, kita juga nasihatkan Majlis Keselamata­n Negara (MKN) untuk memberi peluang kepada KKM ruang masa untuk kesiapsiag­aan kita.

“Jadi, mungkin kita akan memperketa­tkan tindakan kita. Kalau kita lihat, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, kita benarkan sektor ekonomi tetapi kita boleh kawal sektor sosial, kita boleh kawal sektor pendidikan, kita boleh kawal sektor sukan. Insya-allah, kalau kita boleh kawal ketiga-tiga sektor itu,” katanya.

 ??  ?? Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia