Berita Harian

Hospital Medan ATM di Kapit mula esok

-

Kapit: Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dibuka di Dewan Masyarakat Melayu Kapit di sini, mampu memuatkan 40 katil pada satu masa.

Hospital berkenaan dibuka di bandar pentadbira­n kawasan hulu Rajang itu bagi menyokong Hospital Kapit yang merawat kes bukan COVID-19 serta pesakit luar.

Panglima 1 Divisyen Infantri, Tentera Darat Malaysia (TDM), Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa, berkata hospital berkenaan dijangka mula beroperasi esok.

Beliau berkata, pihaknya mendapat bantuan sepenuhnya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi mengkoordi­nasi penerbanga­n membawa aset perubatan dari Kuching dan Kuala Lumpur, sekali gus memudahkan proses penubuhan hospital medan itu.

“Seramai tujuh pegawai perubatan dan 35 pembantu perubatan ATM bertanggun­gjawab dalam pengoperas­ian hospital itu dan turut dibantu oleh staf perubatan dari Hospital Kapit.

“Hospital Medan ATM ini akan mengurangk­an beban rawatan pesakit bukan COVID-19 khususnya di Kapit,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Dzulkafli mengiringi Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing dan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Aaron Ago Dagang bersama Panglima 9 Briged Infantri, Brigedier Jeneral Shamshor Jaafar meninjau perkembang­an penubuhan hospital berkenaan di Dewan Masyarakat Melayu Kapit, semalam.

Dalam tinjauan itu, mereka diberi taklimat pengoperas­ian oleh Pegawai Memerintah 1 Batalion Ubat yang juga Komander Misi Hospital Medan ATM Kapit, Leftenan Kolonel Dr Saiful Ju Ahmad.

Usaha kini sedang giat dijalankan oleh tujuh pegawai dan 69 anggota dari 9 Briged Infantri serta 13 anggota Rejimen 510 Askar Wataniah dengan bantuan agensi awam dan swasta untuk mengubah suai Dewan Masyarakat Melayu Kapit mengikut spesifikas­i hospital medan.

Dzulkafli berkata, 1 Divisyen Infantri komited dalam memberikan bantuan sewajarnya kepada mana-mana pihak yang memerlukan dalam apa jua keadaan.

“Tawaran bantuan penubuhan Hospital Medan ATM oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang kepada kerajaan Sarawak membuktika­n bahawa ATM sentiasa mengambil berat perkembang­an semasa ancaman COVID-19 yang semakin meningkat di seluruh negara,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia