Berita Harian

49 aduan pelbagai isu perburuhan diterima melalui WFW

-

Yan: Sebanyak 49 aduan berhubung pelbagai isu perburuhan diterima Kementeria­n Sumber Manusia (KSM) sejak aplikasi Working For Workers (WFW) dilancarka­n pada Isnin lalu.

Timbalan Menteri, Datuk Awang Hashim, berkata jumlah aduan juga dijangka meningkat pada minggu depan selepas semua Pusat Tenaga Kerja (PTK) mula menerima aduan, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Aplikasi yang diwujudkan itu bertujuan melindungi pekerja, termasuk warga asing sekiranya berlaku ketidakadi­lan daripada mana-mana pihak yang terbabit dalam urusan pekerjaan.

Awang berkata, semua aduan yang dilaporkan itu membabitka­n isu pekerja diberhenti­kan tanpa notis, tidak dibayar gaji dan tiada kontrak pekerjaan.

“Selangor dan Kuala Lumpur muncul dua negeri paling tinggi aduan yang diterima selepas lima hari dilancarka­n iaitu sebanyak 15 dan 14 kes.

“Ia diikuti Kedah sebanyak lima kes, Johor (4), Perak (3) dan Pulau Pinang (3) Sarawak (2), manakala Melaka, Pahang dan Terengganu masing-masing mencatatka­n satu kes.

“Pecahan aduan yang diterima melalui aplikasi WFW ini adalah 24 kes daripada pekerja tempatan, 24 kes daripada pekerja asing manakala satu kes membabitka­n pegawai dagang,” katanya selepas merasmikan Program Jualan Pra-syawal di Pasar Tani Kekal (PTK) Guar Chempedak, semalam.

Katanya, menerusi aplikasi itu pihaknya boleh mengambil tindakan lebih pantas untuk melindungi pekerja tempatan dan asing.

“Aplikasi ini juga boleh digunakan oleh penjawat awam, tetapi kita sedia maklum mereka mempunyai prosedur dan lembaga disiplin sendiri, jadi tiada masalah buat mereka.

“Tetapi, aplikasi ini terbuka kepada semua yang ingin membuat aduan,” katanya.

Pada Isnin lalu, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan dipetik sebagai berkata, aplikasi WFW akan menjadi platform kepada 15.7 juta pekerja termasuk warga asing untuk mengemukak­an aduan dan permasalah­an isu perburuhan.

Saravanan memberi jaminan identiti pengadu akan dirahsiaka­n dan aduan diterima diambil tindakan antara tiga hingga tujuh hari, manakala status pelaporan dipantau oleh pengurusan tertinggi kementeria­n termasuk beliau dan Awang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia