Berita Harian

Alina Hassan tinggalkan dunia glamor, tiada aura sebagai penyanyi komersial

Alina sedar kekurangan diri, teruskan hidup sebagai penyanyi jalanan

- Oleh Zaidi Mohamad zaidim@ bh.com.my

‘Jangan buat cerita sedih, nanti saya ‘tumbuk’ kamu,” demikian seloroh juara program realiti, Sinaran Pasport Kegemilang­an 1996, Alina Hassan kepada penulis.

Bertemu pada majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) dengan kerjasama Restoran Mohd Chan di Malakat Mall, Cyberjaya, hidup wanita 54 tahun itu sering diuji.

Malah, jika diamati lirik lagu Gelombang dendangan asal Salamiah Hassan yang pernah dipopulark­an suatu ketika dahulu seperti ‘badi’ dan berkait rapat dengan kehidupan yang dilalui ibu tunggal tiga anak ini.

Alina yang pernah dinobatkan pemenang tempat ketiga program Mentor Otai 2018 di bawah bimbingan Siti Sarah Raisuddin akur, tuah tidak menyebelah­inya buat ke sekian kali.

“Perjalanan seni saya, Allah sudah atur. Saya cuba mengikut rentak dan percaturan ini, tetapi ini bukan lagi bidang saya. Pilihan saya untuk menjadi kuat. Walau apa pun jadi, saya kena meneruskan hidup.

“Tiada apa yang mengubah nasib saya. Namun, saya cuba bertahan seperti try and error.

Jadi, jika ada yang bertanya apakah saya mahu serius menyanyi secara komersial? Jawapannya, tidak lagi.

“Cukup-cukuplah, saya tidak akan kembali kepada dunia glamor. Mungkin saya boleh menyanyi, tetapi tidak memiliki aura yang mencukupi sebagai penyanyi komersial.

“Mahu jadi penyanyi kena ada aura. Saya memang ada kekurangan di situ,” katanya serius kepada B*POP.

Sakit Ekzema

Malah, keputusann­ya melupakan bidang glamor turut didorongi dengan penyakit simptom keradangan dan kegatalan kulit yang dipanggil Ekzema, sejak kecil lagi.

“Saya harus tabah dengan ujian ini. Jika lihat keadaan saya sekarang, memang penyakit ini agak menjengkel­kan. Saya hanya bertahan dengan ubat yang dibeli di farmasi atau klinik,” katanya.

Mengulas apakah kerjaya seni dan peluang diraihnya untuk kembali menyinar pada 2018 disebabkan sikapnya yang suka ikut kepala sendiri yang tidak disenangi sesetengah pihak, Alina berkata, dia tidak mampu berbuat apa-apa.

“Saya bergelar penyanyi sejak 1996. Saya lihat ramai artis yang tebal dengan sikap plastik. Saya pula wanita kampung yang dibesarkan di Alor Gajah, Melaka. Saya sudah terbiasa bercakap kasar. Saya dibesarkan dalam keluarga yang membela lembu, kambing dan bersawah.

“Saya tiada mak ayah sejak usia empat tahun. Saya menumpang kasih dengan nenek. Mungkin juga saya jenis manusia yang jika tidak suka, saya akan bertegas. Barangkali, sikap ini tidak digemari oleh penggiat seni.

“Saya juga jenis pakai baju biasa. Tetapi, mahu menjadi artis kena tukar dan groom pakai baju gaun serta bergaya.

“Saya pernah cuba membiasaka­n diri dengan cara sebegitu, namun tidak boleh. Tuah dan rezeki saya bukan dalam dunia glamor. Saya buatlah macam mana pun, kalau peminat tidak terbuka hati, tak boleh buat apa juga. Sama seperti buka perniagaan makanan, kalau hati pelanggan tak terbuka ke kedainya, apa daya,” katanya.

Katanya, dia masih cuba bertahan meneruskan kehidupan seperti orang biasa. Malah, mula berjinak-jinak dengan dunia

busking, sejak tahun lalu. “Sekalipun tidak menyanyi di pentas komersial, saya rasa bakat Allah pinjam ini boleh digunakan sebagai penyanyi jalanan. Saya perlu cari rezeki untuk survival. Bukan untuk komersial. Zaman pandemik COVID-19 ramai yang terkesan dan tiada tawaran kerja. Buat album pun siapa nak beli?

Cari rezeki dengan busking

“Saya menyanyi di Scottage Cafe di Wangsa Melawati. Saya hanya menyanyi solo bertemanka­n

speaker bluetooth dan mikrofon, hanya one woman show. Saya dibayar ikut rezeki dan jumlah pengunjung. Kebiasaan dapat jugalah RM30.

“Kalau kafe panggil saya buat persembaha­n, saya tidak menolak. Sejujurnya, saya gembira dengan keluarga busking. Kami seperti adik beradik dan menjaga diri bersama. Jika ada yang sakit, boleh ganti penyanyi lain,” katanya.

Penyanyi lagu Dingin kini menyewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang di Setapak, Kuala Lumpur dengan bayaran sewa RM124 sebulan. Sebelum itu, Alina menghuni bilik di sebuah rumah kedai di Setapak.

“Saya tidak lagi membuat kerja mencuci, melipat pakaian atau mengasuh. Selain penyanyi jalanan, saya masih bergelar personal shopper.

“Secara kebetulan, jarak bilik sewa dan rumah PPR dekat, jadi ada pelanggan yang dianggap kawan dan keluarga masih menggunaka­n khidmat saya membeli barang harian termasuk lampin pakai buang serta barangan dapur.

“Upah untuk khidmat ini saya tidak pernah tetapkan harga. Suka hati mereka nak bayar berapa, tak bayar pun tidak mengapa. Saya ikhlas dan halalkan. Ada antara mereka ramai anak OKU (Orang Kurang Upaya), jadi saya tidak sampai hati mahu letak harga. Saya bantu setakat termampu,” katanya.

Alina berkata, dia bersyukur menerima bantuan Baitulmal sebanyak RM300 sebulan.

“Lepaslah bayar sewa rumah, bil api dan air pun tidak sampai RM10. Rezeki sebagai penyanyi jalanan pula dapatlah menampung kehidupan,” katanya.

“Sekalipun tidak menyanyi di pentas komersial, saya rasa bakat Allah pinjam ini boleh digunakan sebagai penyanyi jalanan. Saya perlu cari rezeki untuk survival”

Alina Hassan

 ??  ?? Alina enggan kembali ke dunia glamor, boleh menyanyi tetapi tidak mempunyai aura sebagai penyanyi komersil.
Alina enggan kembali ke dunia glamor, boleh menyanyi tetapi tidak mempunyai aura sebagai penyanyi komersil.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia