Berita Harian

CUEPACS mohon penangguha­n bayaran pinjaman perumahan kakitangan kerajaan

CUEPACS anggap alasan penjawat awam tetap terima gaji penuh tak lagi relevan

- Oleh Mohd Iskandar Ibrahim mohd_iskandar@bh.com.my

Kuala Lumpur: CUEPACS menyaranka­n Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) menangguhk­an sementara pembayaran balik pinjaman perumahan penjawat awam sama seperti dilaksanak­an institusi kewangan di bawah seliaan Bank Negara.

Presidenny­a, Adnan Mat, berkata alasan penjawat awam dan pesara tetap menerima gaji serta pencen penuh bagi menampung perbelanja­an bulanan termasuk membayar pinjaman LPPSA tidak lagi relevan digunakan agensi milik kerajaan terbabit untuk menolak pemberian moratorium.

“Bukan semua pasangan penjawat awam bekerja dalam sektor kerajaan, sebaliknya dianggarka­n lebih 50 peratus bekerja dalam sektor swasta, berniaga secara kecil-kecilan selain menjadi suri rumah sepenuh masa.

“Ada dalam kalangan mereka kehilangan kerja, terjejas pendapatan dan tidak lagi boleh berniaga berikutan pelaksanaa­n Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berterusan sejak tahun lalu,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Adnan berkata, kebanyakan penjawat awam memohon pinjaman LPPSA dengan mengemukak­an pendapatan bersama pasangan masing-masing bagi membolehka­n pembiayaan diluluskan.

Beliau berkata, jika mereka tidak berbuat demikian, pembiayaan terbabit sukar mendapat kelulusan apatah lagi dengan harga kediaman yang mahal ketika ini.

Katanya, jika LPPSA membenarka­n penangguha­n bayaran pinjaman dilakukan, penjawat awam yang terkesan akan mempunyai lebihan pendapatan, yang boleh digunakan untuk merancang kembali kewangan dan membantu keluarga dalam kesusahan.

“Tambahan pula agensi kerajaan lain seperti MARA, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Perbadanan Tabung Pembanguna­n Kemahiran (PTPK) turut melaksanak­an moratorium.

“Pihak bank seperti CIMB Bank turut memberikan moratorium kepada pekerja mereka yang bergaji di bawah RM4,000 walaupun gaji mereka masih dibayar seperti biasa,” katanya.

Justeru, CUEPACS sekali lagi menggesa kerajaan dan LPPSA mempertimb­ang secara serius terhadap keperluan menangguhk­an sementara bayaran balik pinjaman perumahan untuk penjawat awam sama seperti bank swasta yang tidak dikawal kerajaan secara langsung.

 ??  ??
 ??  ?? Adnan Mat
Adnan Mat

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia