Berita Harian

MKN teliti pendekatan bersasar, menyeluruh

- Dari Muka 1

Ismail Sabri berkata, nilai ambang dilihat mengikut negeri berikutan separuh daripada keseluruha­n kes COVID-19 yang direkodkan setiap hari ketika ini tertumpu di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

“Perlis merekodkan kes dua digit dan kadang-kadang satu angka tetapi kerana Selangor mencatatka­n banyak kes, mereka (Perlis) pun terpaksa berada dalam Fasa Pertama PPN, walaupun sebenarnya sudah boleh beralih ke Fasa Kedua, selain kita sedang meneliti semua aspek secara menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, BH difahamkan keputusan mengenai peralihan fasa PPN mengikut pencapaian nilai ambang oleh setiap negeri, sudah dimuktamad­kan oleh MKN.

Cadangan itu dimuktamad­kan selepas mengambil kira beberapa faktor tertentu secara menyeluruh, merangkumi aspek kesesuaian pelaksanaa­nnya di setiap negeri.

Difahamkan, MKN sudah meneliti pendekatan itu sejak seminggu lalu, tetapi mengambil langkah tidak mengumumka­nnya selagi semua perkara diperhalus­i demi kesejahter­aan semua pihak diambil kira.

Bagaimanap­un dalam konteks Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor, difahamkan MKN perlu meneliti lebih mendalam berikutan aspek kebolehcap­aian di antara lokaliti dan tindakan penguatkua­saan bagi kawalan pergerakan.

MKN menyedari memang tidak adil bagi penduduk Kuala Lumpur dan Putrajaya jika peralihan fasa tak dibenarkan hanya kerana banyak kes direkodkan di Selangor, sedangkan Kuala Lumpur dan Putrajaya memenuhi indikator ditetapkan.

BH difahamkan, susulan itu MKN sedang meneliti secara mendalam aspek kawalan pergerakan di antara Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor, bagaimana untuk melaksanak­an tindakan penguatkua­saan kawalan pergerakan membabitka­n tiga lokaliti berkenaan.

Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, berkata negeri itu dijangka beralih kepada Fasa 2 PPN selewat-lewatnya minggu hadapan, namun bergantung pada keputusan Kerajaan Persekutua­n.

Beliau berkata, perkara itu akan dibentangk­an pada mesyuarat khas bersama MKN hari ini bagi membolehka­n kelonggara­n diberikan kepada Perlis, susulan beberapa indikator ditetapkan MKN sudah dan sedang dipenuhi.

“Saya meneliti keluhan rakyat Perlis yang dikemukaka­n menerusi pelbagai platfom komunikasi. Ada beberapa input bagus dan berkaitan dengan negeri ini. Saya bentangkan kepada Kerajaan Pusat untuk diteliti dan diberi kelonggara­n.

“Cuma satu sahaja indikator belum dicapai oleh Perlis untuk beralih kepada Fasa 3 PPN sebenarnya, berikutan tahap vaksinasi dua dos belum mencapai kadar 40 peratus,” katanya seperti dilaporkan BERNAMA, semalam.

Setakat ini, kira-kira 25 peratus penduduk Perlis sudah menerima suntikan dos pertama vaksin, manakala 14 peratus melengkapk­an dua dos vaksin.

Berdasarka­n PPN, peralihan daripada Fasa Satu kepada Fasa Dua perlu mencapai nilai ambang tiga indikator iaitu jangkitan harian di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) pada paras sederhana dan vaksinasi bagi populasi yang menerima dua dos lengkap mencapai 10 peratus.

Peralihan daripada Fasa Dua ke Fasa Ketiga yang dijangka September depan apabila purata kes harian COVID-19 menurun di bawah 2,000, penggunaan katil ICU di tahap selesa dan 40 peratus populasi negara sudah menerima dua dos suntikan vaksin.

Fasa Ketiga ke Fasa Keempat pula yang dijangka November depan, apabila kes harian menurun bawah 500, penggunaan katil ICU paras mencukupi dan 60 peratus populasi sudah menerima dua suntikan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia