Berita Harian

Manfaatkan peluang bantu kerajaan perangi COVID-19

Ahli Parlimen kena cari penyelesai­an terbaik, bukan medan berpolitik

- Oleh Saiful Haizan Hasam saiful.haizan@bh.com.my

Kuala Lumpur: Pemimpin parti politik terus berbeza pendapat, walaupun kerajaan semalam menetapkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan kembali bersidang bermula 26 Julai ini.

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata semua Ahli Parlimen perlu memanfaatk­an peluang itu bagi membantu kerajaan dan memastikan negara serta rakyat menang dalam perang melawan pandemik COVID-19.

Beliau berkata, sidang Parlimen itu mesti menumpukan masalah yang timbul akibat COVID-19 dan mencari jalan penyelesai­an terbaik.

“Ia tidak boleh dijadikan medan untuk berpolitik sehingga mengakibat­kan keruntuhan kerajaan dan polemik politik panjang yang tiada penghujung.

“Hanya dengan bersatu hati demi rakyat akan mengeluark­an negara daripada kemelut yang sedang kita hadapi,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Beliau mengulas kenyataan dikeluarka­n oleh Pejabat Perdana Menteri semalam, yang menetapkan Dewan Rakyat akan bersidang selama lima hari mulai 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini, manakala Dewan Negara akan bersidang tiga hari mulai 3 Ogos.

Ahmad Faizal berkata, secara peribadi beliau akan menggunaka­n peluang kembali bersidang itu untuk menyampaik­an pandangan penduduk Parlimen Tambun yang diwakiliny­a.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, pula mendakwa kenyataan Pejabat Perdana Menteri bahawa persidanga­n Parlimen kelak hanya untuk memberi pandangan mengenai Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat, bertentang­an pandangan dizahirkan Yang di-pertuan Agong, Al-sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-mustafa Billah Shah, supaya Ahli Parlimen membahaska­nnya.

Katanya, beliau percaya ramai Ahli Parlimen berasa tidak puas kerana fokus sidang berkenaan adalah lebih kepada untuk meminda peraturan mesyuarat bagi membolehka­n sidang hibrid diadakan.

“Bagi saya, ini belum lagi menepati apa yang dizahirkan dalam pandangan Seri Paduka bahawa Ahli Parlimen perlu membahaska­n perkara berkenaan.

“Adalah tidak memadai untuk kami sekadar menerima sesi penerangan dan pembentang­an Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, pula berkata sidang Parlimen wajar berlangsun­g sekurang-kurangnya 20 hari.

Katanya, ini bagi membolehka­n Ahli Parlimen membahaska­n banyak isu berkenaan pandemik COVID-19 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Ordinan-ordinan Darurat wajar dibahas, bukan hanya dibentang ‘cuma diletak atas meja’. Sidang (perlu) cara bersemuka, bukan hibrid sebab Ahli Parlimen dan sebahagian staff sudah divaksin,” katanya Ahli Parlimen Pontian itu.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub, pula mendakwa pembukaan semula Parlimen itu sebagai kekalahan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas ditekan rakyat.

Beliau mendakwa, ia adalah bukti kuasa suara netizen yang juga suara keramat rakyat.

“Kami akan bawa isu rakyat walau sebesar zarah. Kami akan suarakan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pulai, Johor.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari, menyambut baik langkah Perdana Menteri selaku Ketua Majlis yang bersetuju untuk menasihati Seri Paduka supaya memanggil sidang Parlimen.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia