Berita Harian

Remaja cetus Kluster Kampung Bechah Tembesu

-

Putrajaya: Kluster Kampung Bechah Tembesu di Kota Bharu yang dilaporkan semalam, dikesan dicetuskan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kluster dalam kalangan komuniti itu dikesan hasil saringan individu bergejala di kampung berkenaan.

Katanya, kes berkenaan dilaporkan positif COVID-19 pada Jumaat lalu, selepas mengalami gejala bermula 28 Jun lalu.

“Nama kluster merujuk kepada lokaliti penularan kes dilaporkan berlaku, iaitu di Kampung Bechah Tembesu, Kota Bharu. Sehingga kini, 22 individu sudah disaring dan daripada jumlah itu 10 individu dilaporkan positif COVID-19, termasuk sembilan kes baharu yang dikesan hari ini (semalam).

“Selain itu, satu lagi kluster kalangan komuniti dikenali sebagai Kluster Kluster Kampung Bakong Gunung,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Dr Noor Hisham berkata, selain dua kluster komuniti itu, 11 kluster tempat kerja dikesan di seluruh negara, iaitu Kluster Industri Tech Valley Sendayan, Kluster Industri TTJ 2; Kluster Jalan Harmoni Sembilan; Kluster Jalan Sri Sulong, Kluster Lorong Berjaya dan Kluster Jalan Kayu Madang.

Turut dikesan ialah Kluster Industri Bentong Sebelas 2; Kluster Industri Jerantut Feri; Kluster Industri 121 Kuala Baram, Kluster Dah Satu Industri Kulim dan Kluster Lintang Macallum Dua.

Sementara itu, mengenai kes baharu semalam, Dr Noor Hisham berkata, kes penularan COVID-19 di negara ini melebihi 6,000 kes lima hari berturut-turut, iaitu 6,387 kes dilaporkan semalam dengan 77 kematian.

Beliau berkata, pertambaha­n kes berkenaan sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini meningkat kepada 785,039 kes.

“Daripada jumlah kes baharu dilaporkan hari ini (semalam) 2,610 kes dikesan di Selangor, diikuti Kuala Lumpur dengan 819 kes baharu, Negeri Sembilan (523); Sarawak (424); Johor (324); Pahang (312); Kedah (273); Sabah (263) dan Perak (249).

“Turut mencatatka­n pertambaha­n kes ialah Melaka dengan 206 kes, Pulau Pinang (157); Kelantan (114); Labuan (71); Putrajaya (25) dan Terengganu (17),” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia