Berita Harian

Pakar minta percepatka­n penjujukan genom virus

Langkah kesan lokaliti asal varian, kawasan penularan bolehkan tindakan awal diambil

- Oleh Muhammad Yusri Muzamir yusri.muzamir@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan digesa segera melakukan penjujukan genom terhadap sampel virus SARS-COV-2 bagi mengenal pasti situasi sebenar pandemik COVID-19 di negara ini.

Pemantauan epidemiolo­gikal molekular dalam penjujukan genom dapat mengesan lokaliti asal varian dan kawasan penularann­ya, sekali gus membolehka­n tindakan awal diambil bagi membendung virus terbabit.

Pakar virologi di Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar, berkata proses itu berupaya mengenal pasti secara tepat jenis varian yang menular di negara ini dan kebolehann­ya untuk membiak atau bermutasi.

Beliau menjelaska­n, pelaksanaa­n penjujukan genom juga dapat menentukan keberkesan­an vaksin menentang varian tertentu, selain mengenal pasti rawatan optimum.

“Ketika ini, kadar kematian di Malaysia adalah tinggi dengan lebih kurang 100 kes sehari, iaitu dua hingga tiga kali ganda lebih daripada purata sebilangan negara lain. Pada kadar positif di Malaysia sekarang, angka harian kematian sepatutnya antara 20 hingga 30 kes saja.

“Justeru, prosedur ini akan membantu mengenal pasti sama ada kadar itu disumbangk­an faktor varian lebih ganas yang ada di Malaysia, rawatan tidak optimum atau angka positif sebenarnya tiga atau empat kali ganda lebih tinggi berbanding dilaporkan.

“Ini persoalan yang tidak terjawab sebab tiada penjujukan genom. Kita tidak boleh hanya bergantung pada faktor penyakit komorbidit­i semata-mata kerana ia kurang tepat,” katanya kepada

BH, semalam.

Beliau mengulas amaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa COVID-19 kini berada pada ‘fasa sangat berbahaya’ akibat ancaman varian Delta yang lebih mudah berjangkit dan sudah dikesan di 98 negara.

Varian Delta kali pertama dilaporkan di India dengan nama B.1.617.2 itu terus berkembang dan bermutasi sehingga menyumbang 25 peratus jangkitan baharu di Amerika Syarikat dan 90 peratus di Britain.

SARS-COV-2 mempunyai genom terdiri daripada bahan kimia dinamakan RNA. Ia hampir sama dengan bahan kimia yang kita kenali sebagai DNA yang menjadi bahan baka kebanyakan organisma hidup, termasuk manusia.

Maklumat terkandung dalam genom boleh dibaca melalui proses dinamakan penjujukan genom. Proses ini menjanakan data dalam bentuk huruf – A, C, G dan T – yang berada dalam jujukan tertentu.

Setiap huruf dipanggil satu nukleotida dan nukleotida ini ialah unit asas sesuatu genom (nukleotida juga dipanggil dengan nama bes atau pasangan bes mengikut keadaan tertentu).

Dalam pada itu, Dr Sazaly memaklumka­n, Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya dua varian COVID-19, berdasarka­n hasil penjujukan genom dilakukan pasukan penyelidik UM, awal tahun ini.

“Kami sudah buat (penjujukan genom) berpanduka­n sampel tahun lalu dan menghantar profil identiti untuk menunjukka­n kepentinga­n penjujukan genom. Varian ini adalah varian awal dan bukan terkini.

“Selain itu, ada varian lain dikenal pasti di Sabah, hasil penjujukan genom dilakukan pasukan penyelidik Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang dibiayai kerajaan negeri,” katanya.

 ??  ?? Dr Sazaly Abu Bakar
Dr Sazaly Abu Bakar

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia