Berita Harian

Suntikan hanya diberi kepada remaja ada masalah kesihatan

-

Putrajaya: Pemberian vaksin jenis Comirnaty keluaran Pfizerbion­tech terhadap remaja 12 tahun ke atas hanya diberi kepada mereka yang ada masalah kesihatan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata remaja lain yang tiada masalah kesihatan akan diberi selepas selesai semua fasa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) membabitka­n populasi dewasa.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan kanakkanak dan remaja yang ada masalah kesihatan dapat dilindungi.

“Pada minggu lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dan saya diberikan taklimat panjang lebar oleh kumpulan pakar bawah Jawatankua­sa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) diketuai Pengarah Institut Penyelidik­an Klinikal, Institut kesihatan Negara (NIH), Dr Kalaiarasu M Peariasamy.

“Kami mengambil pendirian untuk lebih berhati-hati dalam pemberian vaksin terhadap remaja. Saya rasa keputusan dibuat Menteri Kesihatan dan JKJAV adalah yang terbaik untuk melindungi kanak-kanak yang ada masalah kesihatan terlebih dulu.

“Kita sudah bersetuju dengan pembukaan sekolah dan pemberian vaksin akan diberikan terlebih dulu kepada guru, kakitangan sokongan termasuk pemandu bas dan hanya kepada remaja yang ada masalah kesihatan berisiko tinggi, manakala imunisasi terhadap kanakkanak lain boleh dilaksanak­an sehingga fasa seterusnya,” katanya pada sidang media Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) secara maya, semalam.

Khairy berkata, pada masa sama, pihaknya sudah meminta jawatankua­sa khas dalam JKJAV untuk sentiasa menilai data klinikal semasa, termasuk kes myocarditi­s dalam kalangan remaja dan data klinikal baru diterbitka­n membabitka­n vaksin keluaran Sinovac untuk kegunaan remaja.

Beliau berkata, menjelang semua populasi dewasa perlu divaksinas­i selesai dengan pelalian terhadap COVID-19, pihaknya yakin CITF mempunyai data mencukupi untuk menjalanka­n vaksinasi terhadap semua remaja.

Sementara itu, Dr Adham berkata, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) menyaranka­n vaksin Comirnaty diberikan untuk remaja berusia 12 tahun ke atas.

Kuala Lumpur: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, bantuan khas kewangan bagi kesan mudarat vaksin COVID-19 setakat ini masih belum digunakan.

Beliau berkata, setakat ini 18.6 maklum balas kendiri daripada 1,000 dos suntikan vaksin COVID-19 mengalami kesan sampingan minor.

Katanya, antara kesan sampingan itu termasuk sakit di tempat suntikan, sakit kepala tidak serius dan keletihan.

“Sebanyak 0.07 daripada 1,000 kes diklasifik­asikan sebagai serius dan memerlukan rawatan di hospital. Kebanyakan mereka hanya masuk ke hospital untuk menerima rawatan dan pemantauan doktor bagi jangka pendek.

“Setakat ini, masih belum ada penerima bantuan kewangan khas ekoran kesan mudarat vaksin COVID-19,” katanya pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) secara maya, semalam.

Yang turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin.

Kerajaan sebelum ini bersetuju memperuntu­kkan bantuan khas kewangan bernilai RM10 juta bagi kesan mudarat vaksin COVID-19 untuk rakyat tempatan dan warga asing.

Ia membabitka­n dua kategori bantuan iaitu RM50,000 bagi penerima mengalami kesan sampingan serius dan memerlukan rawatan berpanjang­an di hospital dan RM500,000 jika berlaku hilang upaya kekal atau kematian disebabkan vaksin COVID-19.

Mengulas varian baharu, Dr Adham berkata, sebanyak 584 kes direkodkan di negara ini dikesan akibat varian baharu, membabitka­n jangkitan lebih meluas dan pantas, dikatakan menerusi bawaan udara.

Beliau berkata, ia diperoleh menerusi beberapa tindakan pencegahan bagi ancaman varian Delta termasuk jujukan genom.

Katanya, sebanyak 40 kes dikenal pasti daripada varian B1617.2, manakala B1.352 (136 kes); B117 (10 kes); B1525 (dua kes); B161.7.14 (empat kes) dan varian membimbang­kan atau varian kepentinga­n lain (392 kes).

“Kegiatan pencegahan dan kawalan berterusan dijalankan bagi mana-mana kes dikesan melalui kadar insiden tinggi dalam satu kawasan, yang mana kes menular dengan cepat, membabitka­n kematian atau kes tinggi dalam kawasan serta kes tertinggi harian, kita akan buat jujukan genom.

“Dari situ kita akan tahu sama ada individu itu mendapat jangkitan daripada varian baharu.

“Ia ada kaitan dengan vaksin diberikan dan kita sudah maklumkan dua dos adalah dasar perlu dilaksanak­an di negara ini supaya imunisasi dan ketahanan daripada varian baharu ini dicapai dengan baik,” katanya.

Khairy pula berkata, sela masa untuk bekas pesakit COVID-19 mengambil vaksin akan ditetapkan Jawatankua­sa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), minggu ini.

Katanya, ia susulan tempoh berbeza ditetapkan beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV), walaupun dasar dikeluarka­n JKJAV adalah selama tiga bulan.

“Namun, saya faham ada beberapa PPV membuat keputusan berbeza dan perkara ini akan dikemaskin­i pada peringkat JKJAV minggu ini untuk ditentukan,” katanya

Sementara itu, Dr Adham berkata, kementeria­n merekodkan peningkata­n jangkitan Komuniti COVID-19 Kebangsaan sejak 10 minggu lalu, bermula dari Minggu Epid (ME) ke-16.

Beliau berkata, pada ME-26 minggu lalu, jangkitan Komuniti COVID-19 Kebangsaan berada pada paras 4.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia