Berita Harian

149 warga tempatan kena tahan jadi tekong seludup PATI

-

Kuching: Seramai 149 warga tempatan yang terdiri daripada 128 lelaki dan 21 wanita ditahan dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini kerana berperanan sebagai ‘transporte­r’ serta tekong darat dengan mengambil dan menghantar pendatang asing tanpa izin (PATI) ke destinasi yang ditetapkan sindiket di negeri ini.

Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak, Senior Asisten Saini Songkek, berkata mereka dipercayai menerima bayaran minimum RM300 bagi setiap perjalanan membawa PATI masuk ke negeri ini melalui sempadan dengan pelbagai cara termasukla­h berjalan dan menaiki kenderaan.

“Sindiket ini sering mengubah modus operandi bagi membawa PATI terutama diuruskan oleh dalang di negara jiran dan menggunaka­n rangkaian di Malaysia bagi mengatur perjalanan dan tempat transit sementara.

“Mereka juga licik kerana sentiasa memantau keadaan kawalan sekeliling dan mengetahui pergerakan pasukan keselamata­n yang bertugas di kawasan sempadan,” katanya pada sidang media, semalam.

Beliau berkata, bahagian Kuching, Serian dan Sri Aman adalah antara lokasi panas kemasukan PATI disebabkan beberapa faktor seperti terdapatny­a permintaan yang tinggi dan peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan, perladanga­n dan pembinaan serta lain-lain faktor penarik yang boleh menjamin kehidupan yang lebih selesa dan selamat kepada mereka.

Sementara, Saini berkata, seramai 169 PATI yang terdiri daripada 137 lelaki dan 32 wanita ditahan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Beliau berkata, jumlah pengusiran membabitka­n seramai 436 PATI yang terdiri daripada 367 lelaki dan 69 wanita.

“Semua tangkapan dan pengusiran warga asing membabitka­n rakyat dari Indonesia,” katanya.

Beliau berkata, PGA Briged Sarawak melaksanak­an 229 serbuan dan 754 tangkapan serta pengusiran membabitka­n rampasan barang bernilai RM27.27 juta bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Jelas beliau, dari segi rampasan, ia membabitka­n rokok seludup bernilai lebih RM16 juta, kayu balak bernilai lebih RM4.9 juta, kenderaan berjumlah lebih RM4.4 juta, arak dan minuman keras seludup (RM562,526), dadah (RM28,865), hidupan dan tumbuhan dilindungi RM222,000 serta lain-lain rampasan RM691,067.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia