Berita Harian

Suspek lari dari lokasi PKPD diburu

-

Kuala Lumpur: Polis mengesahka­n tiga lelaki diburu selepas melarikan diri dari sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Jalan Kampung Pasir, Kampung Pasir, di sini yang kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat­kan (PKPD).

Ketua Polis Daerah Brickfield­s, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata satu laporan polis dibuat susulan tular di media sosial satu rakaman video berkaitan kejadian itu, kira-kira jam 4.51 petang kelmarin.

Katanya, rakaman video berdurasi 2 minit 4 saat itu memaparkan dua lelaki tempatan dan seorang lagi tidak dapat dipastikan, melarikan diri menerusi pagar kawat besi berduri yang dipasang di sekeliling blok PPR terbabit.

“Identiti dua daripada tiga individu itu sudah dikenal pasti dan kedua-duanya adalah lelaki tempatan berusia 34 dan 46 tahun. Seorang lagi yang melarikan diri belum dapat dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, siasatan dapati dua daripada lelaki terbabit masing-masing mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah serta jenayah lain antaranya samun dan curi dan sembilan rekod jenayah pecah rumah serta dadah.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video memaparkan tiga lelaki tidak berbaju menyelinap keluar daripada bawah kawat berduri yang dipasang di sekeliling PPR terbabit. Sebaik berjaya menyusup keluar, mereka dilihat memanjat pagar PPR itu dan melarikan diri.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, pemeriksaa­n di lokasi kejadian mendapati kawat besi di situ rosak dan dipercayai digunakan sebagai laluan oleh tiga suspek itu menyusup keluar dan melarikan diri.

“Usaha mengesan mereka sedang dijalankan dan kita minta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung video yang tular.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342),” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia