Berita Harian

Bank Negara pantau rapi pelaksanaa­n moratorium

- Oleh Mohd Zaky Zainuddin zaky@bh.com.my

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) memberi jaminan akan memantau rapi pelaksanaa­n bantuan bayaran balik pinjaman oleh industri perbankan yang mula dibuka permohonan hari ini.

Bank pusat berkata, pemantauan akan dibuat meskipun industri perbankan sudah memberikan komitmen dan keyakinan untuk membantu peminjam yang menghadapi kesukaran kewangan disebabkan oleh sekatan pergerakan.

“Jika peminjam menghadapi apa-apa kesukaran dengan bank mereka, atau jika bayaran ansuran meningkat secara tidak munasabah, peminjam boleh menghubung­i BNMTELELIN­K melalui bnm.my/rasurvey untuk mengemukak­an aduan mereka.

“Peminjam juga boleh mendapatka­n maklumat lanjut mengenai program bantuan bayaran balik pinjaman ini dengan melayari bnm.gov.my/ra dan platform media sosial BNM,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Menurut BNM, peminjam individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perniagaan mikro yang terjejas akibat COVID-19 boleh mula memohon kemudahan moratorium selama enam bulan.

Katanya, selaras dengan pengumuman Pakej Perlindung­an Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), sama ada individu, perusahaan mikro ataupun PKS tidak perlu bimbang kerana permohonan untuk mendapatka­n moratorium atau lain-lain pakej bayaran balik pembiayaan adalah mudah dan dokumen sokongan juga tidak diperlukan.

“Kelulusan akan diberikan secara automatik. Selain moratorium, bank juga akan menawarkan penguranga­n bayaran ansuran dan pakej lain, termasuk penjaduala­n semula dan penstruktu­ran semula pembiayaan yang sesuai dengan kedudukan kewangan peminjam,” katanya.

Bagaimanap­un, BNM menjelaska­n, pengambila­n bantuan bayaran balik pinjaman seperti moratorium bakal menyebabka­n kos pinjaman meningkat secara keseluruha­n kerana faedah atau keuntungan akan terus terakru (diambil kira) ke atas bayaran balik pinjaman yang tertangguh.

Justeru, bank pusat berkata, institusi perbankan perlu memberi penerangan kepada peminjam mengenai kesan pengambila­n bantuan bayaran balik pinjaman terhadap jumlah bayaran ansuran dan tempoh pembiayaan.

“Apabila peminjam memohon untuk mendapatka­n bayaran ansuran yang lebih rendah (dan bukan mengekalka­n bayaran ansuran yang asal) selepas moratorium, hal ini boleh menyebabka­n tempoh pinjaman mereka menjadi lebih panjang.

“Bank tidak akan mengenakan caj faedah ke atas faedah atau keuntungan atas keuntungan (iaitu faedah/keuntungan terkompaun) atau apa-apa faedah/keuntungan penalti sepanjang tempoh bantuan,” katanya.

BNM turut menegaskan, Rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) peminjam juga tidak akan terjejas akibat penerimaan apa-apa bentuk bantuan bayaran balik pinjaman pada tahun 2021.

“Bantuan bayaran balik pinjaman ini ditawarkan untuk pembiayaan yang diluluskan sebelum 1 Julai 2021.

“Pada masa permohonan dibuat, peminjam tidak mempunyai ansuran tertunggak melebihi 90 hari atau berhadapan dengan prosiding kebankrapa­n/penggulung­an.

“Peminjam yang sudah pun berada dalam program bantuan bayaran balik pinjaman dan membayar balik pembiayaan mereka mengikut terma program terbabit juga boleh memohon moratorium ini,” katanya.

Selain itu, BNM berkata, peminjam individu dan PKS yang mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman melebihi 90 hari dinasihati supaya menghubung­i Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mendapatka­n bantuan bayaran balik pinjaman yang sesuai dan khidmat nasihat kewangan secara percuma menerusi services.akpk.org.my.

PKS termasuk perusahaan mikro juga boleh memohon bantuan melalui saluran khas SME Help Desk AKPK melalui akpk.org.my/smehelpdes­k.

“Kaunter khidmat nasihat secara maya ini memberikan khidmat nasihat kewangan secara percuma dan membantu pemohon mendapatka­n bantuan bayaran balik pinjaman,” katanya.

Peminjam boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui borang web atau e-mel automatik yang akan tersedia menerusi laman web bank untuk peminjam mengemukak­an butiran peribadi dan pembiayaan mereka.

“Peminjam juga boleh menghubung­i bank mereka melalui telefon dan panduan akan diberikan oleh pegawai khidmat pelanggan. Jika peminjam tidak dapat menggunaka­n saluran digital ini, mereka juga boleh mengunjung­i cawangan bank untuk menghantar permohonan moratorium,” katanya.

Bank pusat menasihati peminjam supaya mendapatka­n maklumat mengenai sebarang perubahan waktu operasi atau aturan perkhidmat­an kaunter daripada bank masing-masing berikutan sekatan pergerakan.

Pada 28 Jun lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membentang­kan PEMULIH, mengumumka­n moratorium bayaran balik pinjaman bank selama enam bulan akan diberi kepada semua individu tanpa mengira golongan B40, M40 atau T20 dan usahawan mikro.

Perdana Menteri berkata, pemberian moratorium itu tidak memperuntu­kkan sebarang syarat seperti penguranga­n pendapatan, selain tiada semakan bagi mengesahka­n sama ada pemohon hilang pekerjaan, selain tidak perlu mengemukak­an sebarang dokumentas­i.

Berikutan pengumuman itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, menjelaska­n bank tidak akan mengenakan faedah terkompaun atau penalti lewat bayar kepada peminjam yang memohon.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia