Berita Harian

Britain umum tamatkan perintah sekatan 19 Julai

-

Tiada lagi penjarakan fizikal, bekerja dari rumah serta pemakaian pelitup muka selepas penamatan perintah sekatan COVID-19 di Britain.

London: Penamatan perintah sekatan COVID-19 oleh Kerajaan Britain pada 19 Julai ini, menjadi ujian sama ada pemberian vaksin yang pantas dapat memberi perlindung­an mencukupi kepada rakyatnya terhadap penularan varian Delta.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, kelmarin mengesahka­n kerajaan akan menamatkan perintah sekatan sosial dan ekonomi itu termasuk tiada lagi penjarakan fizikal, bekerja dari rumah dan pemakaian pelitup muka.

Selain itu, kelab malam juga akan dibenarkan untuk beroperasi, selain tiada lagi had jumlah orang ramai di lokasi hospitalit­i, selain tiada lagi sekatan jumlah individu yang boleh menghadiri majlis besar seperti acara sukan dan konsert.

Garis panduan penjarakan fizikal akan ditamatkan.

Selepas melaksanak­an tugas sukar untuk mengawal sikap masyarakat, Johnson kini berharap program imunisasi akan dapat memastikan perkhidmat­an kesihatan awam tidak berada dalam keadaan terdesak susulan gelombang baharu pandemik itu.

“Kita perlu jujur, sekiranya gagal membenarka­n masyarakat kembali seperti biasa dalam tempoh beberapa minggu akan datang, bila kita akan dapat kembali kepada kehidupan normal?

“Kita akan bergerak keluar daripada sekatan ketika ini, dan membenarka­n orang ramai membuat keputusan sendiri berhubung bagaimana untuk mengawal penularan virus,” katanya pada sidang media.

Johnson menetapkan dasar itu untuk England, namun ia tidak tertakluk untuk Scotland, Wales atau Ireland Utara, lapor agensi berita CNA.

Britain merekodkan kes kematian COVID-19 ketujuh tertinggi di dunia dan Johnson didakwa terlalu perlahan dalam melaksanak­an perintah sekatan di England bagi membendung penularan pandemik itu.

Bagaimanap­un, penerimaan vaksin COVID-19 adalah tinggi di Britain, dengan 86 peratus orang dewasa sudah menerima dos pertama dan 64 peratus sudah menerima dua dos setakat kelmarin.

AGENSI

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia