Berita Harian

Kaji keutamaan beri vaksin, rangka strategi baharu bendung wabak

- Mohd Azrul Azman, Kangar, Perlis

Mutakhir ini kita sering dikejutkan pelbagai isu yang dikaitkan dengan pandemik COVID-19 dan ia sangat membimbang­kan.

Masalah ini bermula daripada individu, hinggalah membabitka­n kelompok masyarakat yang perlu ditangani segera. Jika gagal, ia boleh meruntuhka­n sosioekono­mi negara dengan parah dan mengambil masa yang panjang untuk memulihkan kembali keadaan menjadi baik.

Sejauh manakah tindakan masyarakat dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP)? Ada sesetengah pendapat menyatakan segelintir organisasi atau individu melakukann­ya sekadar cukup syarat untuk mengaburi pihak berkuasa bagi mengelak dikompaun, bukannya disebabkan faktor kesihatan.

Sehubungan itu, pihak diberi kuasa perlu mewujudkan strategi baharu yang lebih bagus. Tanpa tindakan bijak dan agresif, senario sama akan berulang, malah menjadi lebih parah.

Tidak perlu dipertikai lagi bahawa semua bersetuju mengikut cadangan pakar di Kementeria­n Kesihatan (KKM) bahawa sekatan pergerakan penuh adalah jalan penyelesai­an terbaik untuk mengekang penularan pandemik buat masa ini.

Namun, ia sedikit demi sedikit menyebabka­n keruntuhan ekonomi sehingga ke paras bahaya, di mana sokongan kewangan dan kesihatan akan berkurang akhirnya.

Persoalann­ya, apakah ada jalan lain boleh dilaksanak­an supaya kesihatan masyarakat dijaga dan ekonomi juga terbela, selain sekadar mematuhi SOP ditetapkan?

Kerajaan menyatakan pelaksanaa­n Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sebagai ‘pelan keluar’ menghadapi kemelut ini. Namun timbul juga isu dengan gerakan dakyah antivaksin dan masalah sistem pemberian vaksin kepada individu sasaran yang tepat atau lebih memerlukan­nya.

Hal ini sepatutnya perlu diteliti sedalamnya dengan cepat dan kepakaran yang ada.

Melihat gerakan antivaksin, ia bukan baharu dalam isu ini. Sebelum hadir pandemik ini pun, kelompok antivaksin sudah menularkan beberapa dakyah dengan menyatakan semua vaksin buruk dan tidak berguna.

Namun, media massa memainkan peranan cukup baik memberi maklumat berkaitan vaksin sebagai selamat dan ia perlu diambil untuk menjadi benteng pertahanan penyakit berjangkit.

Realitinya, isu kesihatan dan ekonomi tetap paling utama kerana kedua-dua elemen ini saling bergantung satu sama lain. Namun untuk menjamin kedua-dua ini, sistem pemberian vaksin perlu cekap dan tepat pada sasarannya.

Tidak dinafikan, kesihatan masyarakat lebih penting untuk memajukan ekonomi, tetapi ekonomi juga perlu diteruskan untuk menyokong kekuatan kesihatan negara.

Pihak berwajib perlu mencari strategi lebih bagus dalam pemberian vaksin. Pandangan perlu dibincangk­an dan diambil daripada pemerhati berlatarbe­lakangkan bidang berbeza.

Satu cadangan baik boleh dilakukan adalah melaksanak­an imunisasi kepada pekerja industri penting yang menjana pendapatan negara, selepas selesai giliran petugas barisan hadapan yang diutamakan.

Memberi vaksin kepada golongan berisiko kesihatan seperti warga emas juga penting, namun perlu dikaji tahap pergerakan mereka dan cara risiko golongan ini mendapat jangkitan.

Dalam soal ini, kawalan pergerakan perlu dibuat terlebih dahulu, supaya pemberian vaksin dapat diutamakan kepada individu yang melakukan pergerakan yang banyak. Ini termasukla­h ahli rumah yang bekerja dalam industri penting.

Penilaian risiko juga harus dilakukan ke atas pekerja sektor yang menyumbang kluster tertinggi. Pihak berwajib juga perlu memberi fokus kepada usahawan mikro, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mendapatka­n imunisasi supaya peratusan kadar kebolehjan­gkitan dapat dikurangka­n dengan kadar segera, seiring menjaga pergerakan aliran tunai dalam negara.

Strategi mengawal dan pelaksanaa­n pemulihan kesihatan serta ekonomi masyarakat perlu dicapai segera, bagi mengurangk­an isu lain seperti tekanan dan kemurungan pekerja sama ada disebabkan kehilangan pekerjaan atau tidak mempunyai pekerjaan yang stabil.

Hakikatnya, masing-masing mempunyai masalah dengan definisi yang sama iaitu tekanan dan kemurungan, faktornya sahaja berbeza.

Jadi, janganlah kita menjadi ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’. Kita mempunyai ramai pakar dalam pelbagai bidang yang boleh memberi pandangan untuk melaksanak­an pelan strategi yang lebih mampan dan bagus, berbanding hanya mengulangi kenyataan sama - ‘kita perlu mengikut SOP ditetapkan’.

Kesimpulan­nya, perlu ada strategi baharu yang memberi impak besar dalam usaha menangani krisis pandemik ini, bukan sekadar memberi perintah berulang sehingga menyebabka­n kelesuan kepada pekerja dan masyarakat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia