Berita Harian

Pekerja sektor pekilangan, pembuatan wajib jalani ujian RTK 2 kali seminggu

Langkah perketat syarat operasi kilang kawasan PKPD, kesan jangkitan kes lebih awal

- Oleh Noor Atiqah Sulaiman dan Tuty Haryanti Ahmad Rodzi bhnews@bh.com.my

Majikan perlu memberikan kerjasama dan tanggungja­wab bagi menanggung sepenuhnya kos saringan berkenaan Mohamed Azmin Ali,

Menteri Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri

Tidak wajar juga membuat ujian saringan kepada pekerja dua kali seminggu kerana kebanyakan pengusaha beroperasi lima hari seminggu Syed Hussain Syed Husman,

Presiden MEF

Putrajaya: Semua pekerja sektor perkilanga­n dan pembuatan perlu menjalani ujian Rapid Test Kit (RTK) dua kali seminggu berkuat kuasa sejak Rabu lalu.

Menteri Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata langkah itu dikuatkuas­akan bagi memperketa­tkan lagi syarat kebenaran pengoperas­ian kilang dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat­kan (PKPD) terutama di Selangor.

Katanya, langkah awal itu dilihat mampu mengenal pasti kes jangkitan COVID-19 dengan lebih awal dan membolehka­n pekerja disahkan negatif dibenarkan datang ke tempat kerja.

“Majikan perlu memberikan kerjasama dan tanggungja­wab bagi menanggung sepenuhnya kos saringan berkenaan.

“Saya menyeru majikan tidak mengambil kesempatan di atas peluang diberikan kementeria­n ini kerana ramai tidak patuh Prosedur Operasi Standard (SOP) dan memandang ringan perkara ini,” katanya dalam hantaran di akaun Facebook, semalam.

Mohamed Azmin berkata, langkah penjagaan SOP ketat perlu seiring dengan tindakan secara praktikal bagi membendung penularan jangkitan COVID-19 daripada terus merebak terutama di tempat kerja.

Sementara itu, Presiden Persekutua­n Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, dalam reaksi awalnya tidak bersetuju dengan SOP mewajibkan pekerja sektor pembuatan dalam kawasan PKPD menjalani ujian saringan COVID-19 dua kali seminggu jika mahu beroperasi.

Beliau menegaskan ini kerana kos menjalanka­n ujian saringan itu terlalu tinggi, selain bertentang­an amalan terbaik antarabang­sa seperti yang ditetapkan.

Katanya, tidak wajar juga membuat ujian saringan kepada pekerja dua kali seminggu kerana kebanyakan pengusaha hanya beroperasi lima hari seminggu.

“Kos membuat ujian saringan yang tinggi dan harus ditanggung oleh pengusaha akan membebanka­n terutama pengilang dalam keadaan ekonomi yang sangat mencabar ketika ini.

“Kos ujian saringan dianggarka­n kira-kira RM70 dan jika pengusaha mempunyai seramai 1,000 pekerja, mereka perlu membayar RM140,000 setiap minggu untuk dua kali ujian.

“Jika empat minggu perlu melakukan ujian itu, kosnya boleh mencecah RM560,000 hanya untuk melakukan saringan sahaja,” katanya.

Syed Hussain berkata, pihaknya juga bimbang kekerapan melakukan saringan boleh meningkatk­an risiko kecederaan pada tisu hidung hingga menyebabka­n komplikasi kesihatan lain, selain mendakwa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga tidak mengesyork­an penyaringa­n meluas terhadap individu tanpa gejala kerana kos yang tinggi dan tidak berkesan.

“Tidak wajar juga mereka sudah menerima suntikan vaksin menjalani ujian saringan lagi.

“Justeru, MEF berpendapa­t, ujian itu tidak boleh dijadikan syarat wajib kepada pengusaha jika mahu meneruskan operasi,” katanya sambil menegaskan pendekatan lebih berkesan adalah memberi tumpuan Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 di kawasan perindustr­ian.

Katanya, beberapa SOP yang dibuat jelas tidak mendapat input daripada pihak berkepenti­ngan kerana dilihat tidak efektif dan realistik.

“MEF sudah mendesak pihak berwajib supaya mendapatka­n maklum balas daripada pihak berkepenti­ngan terlebih dahulu bagi memastikan SOP yang dibuat efektif.

“Strategi yang efektif adalah dengan memberi tumpuan pada program imunisasi di kawasan perindustr­ian dan MEF mencadangk­an supaya menubuhkan pasukan petugas khas bagi memantau usaha yang digerakkan oleh Kementeria­n Kesihatan ini,” katanya.

Masa sama, Syed Hussain melahirkan kebimbanga­n terhadap kilang yang tidak berdaftar, namun masih beroperasi ketika ini.

“Kilang haram yang turut menggunaka­n pekerja asing tanpa izin itu, dilihat gagal mematuhi SOP dan mereka sepatutnya dikenakan tindakan sewajarnya kerana jelas tidak menyumbang kepada usaha membendung COVID-19.

“Ini adalah waktu tepat untuk menghentik­an operasi kilang haram ini dan pihak berkuasa harus mengambil tindakan segera,” katanya.

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia