Berita Harian

Cadangan polis, tentera jaga sektor ekonomi tak praktikal

-

Kuala Lumpur: Cadangan supaya anggota barisan hadapan yang bertugas di sekatan jalan raya digerakkan menjaga pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sektor ekonomi adalah tidak praktikal.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, semalam, berpendapa­t sekatan jalan raya adalah elemen penting pelaksanaa­n Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam mengawal aktiviti rentas daerah dan negeri yang tidak dibenarkan.

“Anggota polis dan tentera yang ditugaskan di lokasi sekatan jalan raya tidak boleh dikurangka­n atau sampai ada sekatan yang perlu ditutup untuk memenuhi kehendak penggiat sektor ekonomi.

“Lebih baik tugas menjaga pematuhan SOP itu dipertangg­ungjawabka­n kepada agensi berkaitan seperti Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Beliau berkata, tanggungja­wab polis dan tentera dalam menangani situasi COVID-19 di negara ini sudah terlalu banyak dan tidak wajar dibebankan dengan tugas pematuhan SOP sektor ekonomi.

Musa berkata, Majlis Keselamata­n Negara (MKN) perlu memutuskan jabatan atau agensi yang perlu dipertangg­ungjawab menjaga pematuhan SOP sekiranya kerajaan mahu membuka lebih banyak sektor ekonomi kelak.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri berhadapan kekurangan anggota dan pegawai, malah memerlukan penambahan perjawatan.

“Ketika ini, sebahagian kekuatan PDRM sudah terarah dalam usaha membantera­s penularan COVID-19,” katanya.

Kelmarin, timbul gesaan oleh penggiat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada kerajaan meminta pengubahsu­aian strategi dalam pemantauan dan pematuhan SOP supaya ia dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaa­n Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika ini.

Pengerusi Dasar dan Hubungan Kerajaan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA), Datuk William Ng mencadangk­an petugas barisan hadapan yang ketika ini menjaga sekatan jalan raya digerakkan untuk menjaga pematuhan SOP di sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia