Berita Harian

Benarkan operasi dengan SOP lebih ketat

-

Kuala Lumpur: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang semakin dihimpit bebanan kewangan wajar dibenar beroperasi bagi mengurangk­an tekanan psikososia­l di Malaysia.

Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun, berkata kelonggara­n itu bagaimanap­un harus dipantau menerusi prosedur operasi standard (SOP) dan garisn panduan yang ketat.

Katanya, ia merangkumi aspek penempatan pekerja, keperluan mengadakan saringan berkala, persediaan pembukaan premis dan operasi, selain rekod pergerakan.

“Memang PKS tidak boleh dibiarkan beroperasi, tetapi pertimbang­an perlu diberi atas dasar untuk kurangkan tekanan psikososia­l.

“Dengan ekonomi domestik yang meleset, masalah tekanan perasaan dan kemurungan semakin meruncing sehingga mengundang risiko bunuh diri dalam kalangan masyarakat.

“Sebarang pengoperas­ian PKS perlu dilengkapi SOP dan garis panduan ketat kerana kita tidak mahu ia menjadi penyebab penularan jangkitan dan pembentuka­n kluster,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Semalam, BH melaporkan gesaan untuk PKS segera dibenarkan beroperasi dengan SOP baharu bagi mengelak lebih banyak perniagaan ‘gulung tikar’ dalam tempoh terdekat.

Kementeria­n Pembanguna­n Usahawan dan Koperasi (MEDAC) baru-baru ini turut mengunjurk­an 580,000 perniagaan mewakili 49 peratus PKS akan lumpuh menjelang Oktober sekiranya masih tidak dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dr Hanafiah berkata, saringan pekerja sekurang-kurangnya dua kali sebelum premis PKS kembali dibenarkan beroperasi harus dilakukan bagi membendung penularan jangkitan COVID-19.

“Penempatan kena teliti supaya tidak sesak dan macam ‘tin sardin’ kerana faktor penjarakan fizikal serta pengaliran udara penting bagi mengurangk­an risiko jangkitan.

“Apabila semua pekerja bebas jangkitan, baru PKS berkenaan dibenarkan beroperasi dengan SOP yang ketat, namun saringan secara berkala tetap dibuat.

“Jika pekerja tidak merayau dan tinggal di asrama atau penempatan disediakan majikan, maka saringan dilakukan selang dua atau tiga bulan sekali.

“Sekiranya pergerakan tidak dihadkan dan masih tinggal di rumah sendiri, maka saringan perlu dibuat selang dua minggu sekali,” katanya.

Pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai, yang bersetuju dengan gesaan supaya PKS dibenarkan beroperasi berkata, pertimbang­an sama wajar mencakupi industri mikro.

Bagaimanap­un, katanya, kerajaan perlu meluluskan penggunaan saringan kit pantas menggunaka­n hembusan nafas yang hanya memperuntu­kkan kos sekitar 30 sen bagi setiap sampel.

“Ini juga pelaburan jangka panjang kerana COVID-19 bukan lagi pandemik, tetapi sudah jadi endemik, justeru kita kena belajar bagaimana nak hidup dengan virus ini.

“Istilah PKP boleh terus digunakan, namun hanya membabitka­n individu tidak sihat atau mengalami gejala, manakala yang sihat perlu dibenarkan menjalani kehidupan seperti biasa dan boleh bekerja,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia