Berita Harian

‛Mereka yang sudah lengkap dua dos vaksin boleh hidup bersama virus COVID-19’

Vaksin yang diterima berkesan mengekang penularan varian Delta, Beta

-

Kuala Lumpur: Dua dos vaksin yang diterima rakyat negara ini mampu mengurangk­an sehingga 50 peratus kebarangka­lian seseorang dijangkiti COVID-19 atau menyebarka­nnya kepada orang lain.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata semua vaksin yang diterima Malaysia ketika ini juga berkesan terhadap penularan varian baharu COVID-19.

“Berkaitan dengan varian baharu, kita dapati (program) vaksinasi ini berkesan terutama dari segi kemasukan (jumlah pesakit) ke hospital. Varian baharu yang kita kesan adalah Delta dan Beta.

“Apabila kita sudah diberi vaksin, kemungkina­n untuk kita dijangkiti dan menjangkit­i orang lain berkuranga­n 50 peratus. Inilah kesan yang kita dapati daripada vaksinasi,” katanya pada sidang media di Putrajaya, semalam.

Beliau berkata, berdasarka­n penelitian dijalankan Kementeria­n Kesihatan (KKM) terhadap 2,779 petugasnya yang dijangkiti COVID-19 walaupun selepas menerima dua dos suntikan mendapati gejala yang diterima mereka adalah ringan.

“Mereka yang dijangkiti selepas melengkapk­an dos selepas dua minggu adalah seramai 2,779 warga KKM. Daripada jumlah itu, (pesakit) tahap satu dan dua adalah majoriti, tahap tiga dan empat, masing-masing tiga orang saja.

“Selepas selesai divaksinas­i, gejala diterima mereka adalah ringan atau tidak ada gejala langsung. Jadi kalau mereka ini ada gejala ringan atau tiada gejala, mereka (tahap satu dan dua) boleh dikuaranti­n di rumah dan jumlah kemasukan ke hospital akan berkuranga­n,” katanya.

Justeru, beliau mengajak rakyat tampil untuk mendapatka­n vaksin bagi membolehka­n imuniti kelompok dicapai, sekali gus mengelak fasiliti kesihatan terjejas.

“Dengan vaksin kita dapat kurangkan kemasukan ke hospital... kita boleh hidup bersama virus dengan penyelesai­an kita adalah vaksin,” katanya.

Mengulas peningkata­n kes positif secara mendadak, Dr Noor Hisham berkata, penyebaran varian baharu Delta yang kini sudah merebak hampir ke setiap negeri menyebabka­n peningkata­n kes mendadak, dengan nilai kebolehjan­gkitan (Rt) lebih tinggi antara lima hingga lapan berbanding kes pertama dikesan di Wuhan, China iaitu nilai Rt sekitar 2.5 hingga tiga.

“Ini bermakna, setiap 100 individu yang dijangkiti oleh varian Delta mampu menjangkit­i lebih 800 individu lain. Delta ini merebak dengan cepat dan jangkitan ini adalah melalui udara dan dalam masa yang singkat saja ia boleh dijangkiti.

“Sebelum pelaksanaa­n Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat­kan (PKPD) pada Jun lalu, dalam tempoh 10 hari kita dapat ratakan kes daripada 9,000 kes sehari kepada 5,000 hingga 6,000 kes sehari. Bagaimanap­un kes meningkat secara mendadak sejak akhir-akhir ini yang disebabkan oleh varian Delta,” katanya.

Ditanya mengenai suntikan gabungan dua jenis vaksin, Dr Noor Hisham berkata, belum ada keperluan untuk negara melaksanak­an kaedah itu memandangk­an ketika ini tiada data dan bukti yang menunjukka­n keberkesan­an campuran vaksin untuk diluluskan.

“Syarikat vaksin sama ada Pfizer

atau Astrazenec­a tidak menghantar data kepada NPRA (Bahagian Regulatori Farmasi Negara) dan buat masa ini kita masih perhatikan jika ada keperluan untuk dilaksanak­an. Setakat ini tiada keperluan.

“Tiada bukti langsung mengenai keberkesan­annya. Adakah ia berjaya atau tidak. Jika tiada bukti kita tidak boleh syorkan campuran vaksin berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, tempoh rawatan pesakit COVID-19 yang panjang bagi kategori empat dan lima, masing-masing 14 hari dan sehingga 21 hari antara punca menyebabka­n kesesakan berlaku di wad dan hospital.

“Bagi kategori empat, pesakit memerlukan rawatan dan oksigen dan pesakit kategori lima pula memerlukan alat bantuan pernafasan. Namun pesakit COVID-19 ini datang secara mendadak di hospital dan ia memberikan kesan terhadap keupayaan wad ICU (unit rawatan rapi) mahupun kecemasan.

“Walaupun jumlah kedatangan pesakit COVID-19 adalah tinggi, namun kita tidak boleh menolak pesakit untuk menerima rawatan dan tetap memberikan ruang kepada mereka sebelum dirujuk kepada hospital swasta,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia