Berita Harian

MAEPS 2 naik taraf hospital bersepadu

PKRC berfungsi beri rawatan, kendali kes kecemasan COVID-19

- bhnews@bh.com.my) Oleh Rafidah Mat Ruzki, Suzalina Halid, Mohd Nasaruddin Parzi, Ilah Hafiz Aziz dan Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) 2, Serdang akan diluaskan skopnya sebagai Hospital Bersepadu MAEPS dalam menguruska­n pandemik COVID-19.

Mengumumka­n demikian, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata dengan itu, Hospital Bersepadu MAEPS akan berfungsi sama dengan hospital kerajaan lain dalam memberi rawatan dan mengendali­kan kes kecemasan COVID-19.

“Ia termasuk menerima pesakit kategori tiga dan empat dan menambah kapasiti oksigen kepada 1,500 pesakit.

“Pada masa ini, terdapat 4,888 katil di PKRC MAEPS 2.0 bagi tujuan itu,” katanya pada Sidang Media Khas Kementeria­n Kesihatan (KKM) di sini, semalam.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan untuk mengaktifk­an MAEPS sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) atau MAEPS 2.0, bermula Disember tahun lalu.

Dr Adham juga berkata, KKM turut mengaktifk­an dua hospital miliknya sebagai hospital COVID-19 sepenuhnya iaitu Hospital Sungai Buloh dan terbaru, Hospital Ampang sejak 23 Jun lalu dengan kapasiti 577 katil.

Beliau berkata, hospital lain dijadikan sebagai hospital hibrid COVID-19 kecuali Hospital Shah Alam yang dikekalkan sebagai hospital bukan COVID-19.

Selain itu katanya, lebih 5,000 kapasiti katil bagi perawatan COVID-19 disediakan KKM di semua hospital di Lembah Klang.

Dr Adham berkata, ia susulan penambahan kapasiti katil oleh KKM di semua hospital di Lembah Klang iaitu daripada 3,412 katil kepada 3,777 katil di Selangor.

Di Kuala Lumpur dan Putrajaya pula menyaksika­n penambahan katil daripada 795 kepada 1,129 katil.

“Selain itu, kerjasama yang dibuat dengan tiga buah hospital pengajar universiti iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Pakar Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi mengoptimu­mkan penggunaan katil di hospital itu.

“Ia menjadikan keseluruha­n katil bagi perawatan COVID-19 di Lembah Klang melebihi kapasiti 5,000 katil,” katanya.

Dr Adham juga berkata, selain petugas tetap dan kontrak yang ditempatka­n di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, KKM sudah menambah segera sejumlah 1,190 petugas kesihatan di tiga negeri berkenaan.

Selain itu, untuk mengoptimu­mkan sumber manusia, KKM turut memobilisa­sikan 417 petugas kesihatan dari negeri lain ke Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan yang mencatatka­n peningkata­n mendadak kes COVID-19.

Katanya KKM juga akan menambah kira-kira 5,000 petugas dan sukarelawa­n untuk menyokong penyampaia­n perkhidmat­an di Lembah Klang dan Negeri Sembilan.

“Untuk meningkatk­an perkhidmat­an kesihatan awam, Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) akan beroperasi setiap hari di semua CAC sedia ada. Tambahan petugas sudah dan sedang diuruskan oleh KKM.

“Mengambil kira kehadiran pesakit yang menghadapi masalah pernafasan, CAC juga akan dilengkapk­an dengan keperluan oksigen sementara pesakit menunggu rujukan ke PKRC MAEPS 2.0 atau hospital,” katanya.

Dr Adham berkata, sistem nilai tambah (VAS) seperti perkhidmat­an farmasi umpamanya ubat-ubatan secara pandu lalu dan secara pos serta preskripsi jangka panjang hingga enam bulan juga akan diperluask­an untuk mengurangk­an kesesakan.

Menurutnya, turut dipertingk­atkan liputan vaksinasi COVID-19 di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV), termasuk di klinik kesihatan, PPV awam, Pusat Pemberian Vaksin Khas (SPPV), PPV integrasi, PPV mega, outreach dan secara pandu lalu.

“Bagi lokaliti yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat­kan (PKPD), langkah akan dibuat bagi memastikan semua individu yang layak boleh mendapatka­n vaksinasi.

“Program vaksinasi kepada pihak industri juga akan diberikan keutamaan.

“Oleh itu, pendekatan ini akan dibincangk­an segera antara pihak Kementeria­n Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (MOSTI), Kementeria­n Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri (MITI) dan kerajaan negeri,” katanya.

Secara keseluruha­n, beliau berkata, KKM sudah membelanja­kan peruntukan tambahan sebanyak RM700 juta di seluruh negara dalam usaha memerangi pandemik itu.

 ?? (Foto BERNAMA) ?? Dr Adham pada sidang media khas di Putrajaya, semalam.
(Foto BERNAMA) Dr Adham pada sidang media khas di Putrajaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia