Berita Harian

Dua saksi beri keterangan secara tertutup

-

Ipoh: Dua saksi dilindungi termasuk mangsa kes rogol pembantu rumah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong, hadir memberi keterangan secara tertutup di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Prosiding membabitka­n kedua-dua saksi itu dimulakan dengan keterangan mangsa pada kira-kira jam 2.15 petang sebelum mereka memberi keterangan mengikut Akta Perlindung­an Saksi 2009.

Saksi ke-15 dan saksi ke-16 itu hanya boleh dilihat Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed, manakala pihak pendakwaan dan peguam pula boleh mendengar suara saksi tanpa melihatnya ketika memberi keterangan.

Petugas media yang hadir juga tidak dibenarkan merakam gambar dan mendengar prosiding ketika saksi terbabit memberi keterangan, namun dapat membuat liputan ketika pegawai siasatan tempat kejadian, Inspektor V Simon, 38, dari Bahagian Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menyambung keterangan pagi semalam.

Simon memberitah­u mahkamah, pihaknya melakukan pemeriksaa­n polilight pada lapan kesan tompokan disyaki air mani ditemukan pada sarung tilam di tempat kejadian berdasarka­n maklumat pengadu sebelum ia dihantar ke Jabatan Kimia untuk pengesahan.

“Sebagai penugasan forensik, kami membuat pemeriksaa­n menggunaka­n polilight dengan kesan cahaya yang kami temukan, dibuat penandaan dan hantar ke Jabatan Kimia untuk ahli kimia membuat pemeriksaa­n secara khusus.

“Dalam penggunaan polilight ini perbezaan untuk menentukan cecair biologi antara air mani, air kencing, darah dan air liur adalah pada warna yang kami kesan pada permukaan yang kami buat pemeriksaa­n.

“Contohnya kesan air mani apabila disuluh pada permukaan itu, sejenis cecair lut sinar putih akan bersinar dan kami anggap ia air mani, disyaki sahaja bukan sahkan air mani dan kami buat penandaan untuk analisis di Jabatan Kimia,” katanya ketika pemeriksaa­n balas peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili Paul Yong.

Beliau berkata, pihaknya turut menghantar dua swabbing stick yang ditemukan di tempat kejadian kepada Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Ketika pemeriksaa­n semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi, Simon berkata, pihaknya tidak menjalanka­n pemeriksaa­n polilight pada mop yang dirampas kerana ia sudah dicuci dan terus menghantar­nya untuk dianalisis Jabatan Kimia.

Simon bersetuju pasukan forensik pergi ke lokasi selepas 38 jam kejadian berlaku iaitu kira-kira jam 12.10 tengah hari pada 9 Julai 2019 dan pengaduan dibuat selepas 22 jam waktu kejadian, selain bersetuju siasatan forensik dibuat secara khusus berdasarka­n maklumat diberikan pengadu yang membawa ke sebuah bilik tingkat satu rumah Paul Yong ketika disoal Rajpal.

Kelmarin, Simon dalam keterangan­nya berkata, lapan kesan tompokan disyaki air mani ditemukan pada sarung tilam di rumah Paul Yong, selain empat helai rambut.

Seramai 14 saksi memberi keterangan pada perbicaraa­n bermula 5 April lalu dan dijangka mahkamah akan memanggil 10 lagi saksi termasuk dua saksi dilindungi untuk memberi keterangan.

Paul Yong, 51, mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan itu di kediamanny­a di Meru Desa Park di sini antara jam 8.15 malam dan jam 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen, namun pada 15 Disember 2020, Mahkamah Persekutua­n membenarka­n permohonan pembelaan supaya ia dipindahka­n ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraa­n.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia