Berita Harian

Dasar, program kena ikut kesesuaian sektor ekonomi

- Oleh Mohd Zaky Zainuddin dan Hazwan Faisal Mohamad

Kenal pasti sektor yang perlu lebih banyak sokongan bhbiz@bh.com.my

Terdapat keperluan untuk dasar dan program dilaksanak­an mengikut kesesuaian bagi membolehka­n pengenalpa­stian sektor atau bahagian di mana lebih banyak sokongan diperlukan susulan pelaksanaa­n sekatan pergerakan di negara ini.

Pengerusi Kelab Ekonomi Kuala Lumpur (ECKL), Tan Sri Abdul Wahid Omar, berkata pelaksanaa­n Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan kemudian PKP Penuh merencat pemulihan negara.

Katanya, ia mengakibat­kan Bank Dunia menurunkan prospek pertumbuha­n ekonomi untuk Malaysia buat kali kedua kepada 4.5 peratus pada tahun 2021 - turun daripada pertumbuha­n 6.0 peratus yang diunjurkan­nya pada Mac lalu.

“Pandemik ini telah memberi kesan tidak sekata pada sektor dan rantau. Contohnya, sektor makanan dan minuman mengalami kadar penutupan yang lebih tinggi, terutama di negeri utara di mana vendor banyak bergantung kepada pembelian daripada pelancong dari Kuala Lumpur dan Selangor.

“Sektor pembuatan lain juga mengalami kadar penutupan yang sangat tinggi di Malaysia Timur,” katanya semasa menyampaik­an ucapan aluan di Sidang Kemuncak Ekonomi Malaysia 2021 yang diadakan secara maya semalam.

Yang turut hadir, Timbalan

Menteri Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri (MITI), Datuk Lim Ban Hong serta Presiden Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik (KSI), Tan Sri Michael Yeoh.

Abdul Wahid yang juga Pengerusi Bursa Malaysia Bhd, berkata usaha kerajaan untuk meningkatk­an kadar pemberian vaksin seharusnya dipuji kerana ia akan membolehka­n sekatan pergerakan ditarik semula secepat mungkin bagi menyelamat­kan ekonomi dan kehidupan rakyat.

Ketika ini, kira-kira 11.6 juta dos vaksin sudah diberikan membabitka­n seramai 3.6 juta orang atau 11.2 peratus penduduk divaksinas­i sepenuhnya, manakala lapan juta atau 24.6 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

“Pada kadar semasa iaitu 337,000 dos sehari, seramai 70 peratus rakyat Malaysia mungkin diberi vaksin sepenuhnya dalam 100 hari atau pada akhir Oktober 2021.

“Oleh itu, adalah diharapkan dengan meningkatn­ya angka vaksinasi, kita boleh mengangkat dan menamatkan sekatan pergerakan meluas ini dan sebaliknya mempunyai PKP Diperketat­kan yang lebih bersasar di daerah yang jangkitann­ya tinggi atau terjejas,” katanya.

Tambahnya, ramai yang mungkin mengadu bahawa pakej rangsangan yang diperkenal­kan kerajaan adalah tidak mencukupi.

“Tetapi tanpa cukai dengan asas yang lebar seperti Cukai Perkhidmat­an dan Barangan (GST), sumber kerajaan adalah terhad dengan defisit fiskal 6.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020 dijangka untuk melebar lebih tinggi kepada 6.8 peratus pada tahun ini, berbanding unjuran rasmi awal sebanyak 6.0 peratus,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia