Berita Harian

Purata gaji, upah bulanan 2020 di Malaysia merosot

- Oleh Hazwan Faisal Mohamad

Penyusutan 9 peratus berikutan krisis kesihatan, kesan ekonomi hazwanfais­al@mediaprima.com.my

Purata gaji dan upah bulanan pada tahun lalu susut sembilan peratus, penurunan kali pertama sejak ia direkodkan mulai 2010, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam laporan Statistik Gaji & Upah Malaysia 2020.

Ketua Perangkawa­n Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata sepanjang 2020, pasaran buruh Malaysia mengalami momentum tidak menentu berikutan krisis kesihatan dan kesan ekonomi.

Ini, katanya, menyebabka­n pekerja kehilangan pekerjaan di samping pembatalan atau pembekuan pengambila­n pekerja baharu dan seterusnya mengakibat­kan penurunan dalam jumlah guna tenaga.

“Selain itu, pelaksanaa­n langkah pengekanga­n penularan COVID-19 yang ketat dalam negara juga mengehadka­n waktu operasi perniagaan dan menyebabka­n berlaku penguranga­n waktu bekerja.

“Justeru, nilai purata gaji dan upah bulanan yang diterima oleh warganegar­a Malaysia pada 2020 menurun buat kali pertama sejak data siri masa ini dilaporkan mulai tahun 2010 iaitu dengan kadar negatif sembilan peratus.

“Setelah dua tahun berturuttu­rut merekodkan purata melebihi RM3,000, purata gaji dan upah bulanan menurun kepada RM2,933 pada 2020,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Ketua Perangkawa­n Malaysia

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, mengikut aktiviti ekonomi, semua sektor merekodkan penurunan dalam nilai purata gaji dan upah bulanan.

Katanya, tiga sektor mencatatkk­an penurunan dua angka iaitu sektor pertanian (-20.0 peratus), perlombong­an dan pengkuaria­n (-17.7 peratus) dan pembinaan (-10.4 peratus), manakala sektor perkhidmat­an dan pembuatan merekodkan penguranga­n purata gaji dan upah bulanan masingmasi­ng sebanyak 9.4 peratus dan 2.8 peratus.

“Sementara itu, antara industri dalam sektor perkhidmat­an yang mempunyai bilangan penerima gaji dan upah yang ramai adalah industri perdaganga­n borong dan runcit, pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal; dan penginapan & aktiviti perkhidmat­an makanan dan minuman.

“Kedua-dua industri ini merekodkan penurunan dua angka dalam nilai purata gaji dan upah bulanan masing-masing sebanyak negatif 14.9 peratus dan negatif 13.7 peratus,” katanya.

Tambahnya, nilai purata gaji dan upah bagi pekerja mahir adalah sebanyak RM4,619.

“Dalam kategori pekerjaan mahir ini, pengurus menerima purata gaji dan upah tertinggi iaitu sebanyak RM6,479 diikuti oleh profesiona­l (RM5,301) dan juruteknik & profesiona­l bersekutu (RM3,313).

“Bagaimanap­un, nilai purata yang diterima oleh pengurus mencatatka­n penurunan terbesar berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, nilai purata bagi pekerja separuh mahir adalah sebanyak RM2,007.

“Dalam kategori ini, dapat dilihat bahawa purata gaji dan upah yang diterima oleh pekerja sokongan perkerania­n adalah sebanyak RM2,370,” katanya.

 ?? (Foto hiasan) ??
(Foto hiasan)
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia