Berita Harian

Polis akan buat pemeriksaa­n mengejut ke rumah pada Aidiladha

- Oleh Faris Fuad faris.fuad@bh.com.my

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat pemeriksaa­n mengejut dari rumah ke rumah hari ini bagi memastikan tiada aktiviti ziarah sempena Aidiladha mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamata­n Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Ramli Din, berkata pemeriksaa­n secara rawak itu antara kaedah bagi membantu kerajaan mengawal penularan jangkitan COVID-19.

“Ya, kita akan buat pemeriksaa­n mengejut. Perkara itu akan dibuat secara umum dan rawak,” katanya pada BH, semalam.

Terdahulu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, PDRM akan mengumumka­n sama ada akan membuat pemeriksaa­n mengejut rumah ke rumah sempena sambutan Aidiladha.

Timbalan Perdana Menteri dipetik berkata, perkara itu akan diputuskan PDRM kerana tindakan penguatkua­saan pematuhan prosedur SOP PKP berada di bawah bidang kuasa pasukan keselamata­n itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamata­n Dalam Negeri dan Ketenteram­an Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim, ketika dihubungi berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan maklumat orang awam membabitka­n isu pelanggara­n SOP PKP termasuk aktiviti ziarah Aidiladha hari ini.

“Tumpuan akan diberikan di kawasan perumahan. Pada masa sama, pemantauan pematuhan SOP PKP akan diteruskan macam biasa,” katanya.

Sementara itu, Senior Asisten Komisioner (SAC) Gerakan, Jabatan Keselamata­n Dalam Negeri Ketenteram­an Awam (KDNKA) Bukit Aman, M V Srikumar Nair, berkata sebanyak 4,666 kenderaan melalui sekatan jalan raya di seluruh negara kelmarin, diarah berpatah balik.

Selain itu, sebanyak 492 kompaun dikeluarka­n di sekatan jalan dalam tempoh sama kerana ingkar SOP PKP.

“Arahan supaya berpatah balik dan kompaun itu selepas pemeriksaa­n terhadap 361,582 kenderaan. Tindakan kompaun itu kerana cuba rentas sempadan dengan alasan tidak munasabah.

“Kompaun berkenaan juga termasuk kerana cuba balik kampung sempena Aidiladha esok (hari ini),” katanya pada BH, semalam.

Kelmarin, Ismail Sabri dilaporkan berkata, petugas keselamata­n negara diarah bersiap sedia untuk menghadapi pertambaha­n kenderaan yang cuba merentas negeri tanpa kebenaran.

Timbalan Perdana Menteri dipetik berkata, langkah itu diambil bagi berdepan kemungkina­n orang ramai pulang ke kampung menjelang sambutan Aidiladha, hari ini.

Jumlah bilangan kenderaan diarahkan berpatah balik paling tinggi pernah dicatatkan adalah pada 16 Julai lalu, iaitu sebanyak 4,839 sejak Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanak­an.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia