Berita Harian

China ‘ugut’ Kanada tegur isu Laut China Selatan

-

Beijing turut minta henti provokasi, elak tindakan jejas hubungan

Beijing: China memberi amaran kepada Kanada bahawa hubungan dua hala mungkin terjejas jika negara itu terus mencampuri pertikaian di Laut China Selatan.

Kenyataan itu dikeluarka­n Beijing selepas Kanada menggesa Beijing mematuhi keputusan Tribunal Tetap Timbang Tara The Hague, yang menolak sebahagian besar tuntutan China di Laut China Selatan.

Kedutaan Besar China di Kanada membidas Ottawa dengan menyatakan Beijing mempunyai hak kedaulatan yang tidak dapat disangkal di Laut China Selatan dan Timur, walau apa pun yang diputuskan oleh tribunal berkenaan pada 2016.

Kedutaan itu berkata, keputusan terbabit yang menafikan hak China dari segi sejarah, adalah tidak sah.

Ia menggesa Kanada berhenti menimbulka­n provokasi dan isu berkaitan maritim, menghormat­i kedaulatan dan hak serta kepentinga­n China di kawasan maritim berkenaan.

Beijing juga menggesa Kanada supaya tidak meneruskan tindakan yang boleh merosakkan hubungan kedua-dua negara serta keamanan dan kestabilan serantau.

Sebelum ini, Kementeria­n Luar Kanada, dalam satu kenyataan, menggesa China mematuhi komitmenny­a di Laut China Selatan, sempena memperinga­ti ulang tahun kelima keputusan tribunal itu pada 12 Julai 2016.

“Kanada sangat prihatin dengan tindakan China meningkatk­an ketegangan dan ketidaksta­bilan di Laut China Timur dan Selatan, termasuk di luar pantai Filipina baru-baru ini.

“Kanada turut menegur tindakan China menggunaka­n kapal tentera laut, pengawal pantai dan militia maritim untuk menakutnak­utkan serta mengancam kapal negara serantau lain di Laut China Selatan,” katanya.

Kedutaan Besar China membalas kenyataan itu dengan mendakwa tribunal berkenaan melampaui kuasanya dan keputusan itu adalah tidak sah.

Ia juga menegaskan bahawa kedaulatan dan hak dan kepentinga­n China di Laut China Selatan sama sekali tidak terkesan oleh keputusan itu dan China tidak mengiktira­f tuntutan atau tindakan berdasarka­n penghakima­n terbabit.

Selain itu, menurut kenyataan sama, Kepulauan Diaoyu di Laut China Timur yang dikenali sebagai Senkaku di Jepun adalah bahagian yang tidak dapat dipisahkan dari wilayah China.

“Sebaliknya, Jepun yang selalu menimbulka­n masalah dan mengganggu kestabilan wilayah, walaupun menyedari kedaulatan serta hak China di Laut China Selatan atau Timur tidak dapat dinafikan,” kata kenyataan itu.

Walaupun sebahagian besarnya tidak berpenghun­i, pulau di wilayah itu dianggap memiliki banyak sumber semula jadi, selain menjadi juga laluan perkapalan utama dan kawasan sumber penangkapa­n ikan.

Kanada adalah antara negara yang memperinga­ti ulang tahun kelima keputusan bersejarah itu dengan menegur China secara terbuka untuk mematuhi undang-undang antarabang­sa.

AGENSI

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia