Berita Harian

Gesa hati-hati beri kelonggara­n individu lengkap vaksinasi

- Oleh Latifah Arifin latifah@bh.com.my

Kuala Lumpur: Cadangan kerajaan memberi ‘kelonggara­n’ kepada penerima dos lengkap vaksin, perlu dibuat secara berhati-hati dengan mengambil kira kes jangkitan kategori Satu dan Dua pandemik COVID-19, yang masih tinggi dalam kalangan masyarakat.

Malah, jika mahu diberikan sedikit kelonggara­n, pakar kesihatan berpendiri­an larangan rentas negeri atau daerah serta perhimpuna­n awam perlu dikekalkan sehingga populasi yang menerima vaksin meningkat lebih tinggi berbanding kadar semasa.

Pakar virologi dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Yahya Mat Arip, berpendapa­t kebebasan tidak seharusnya diberikan dalam keadaan majoriti bilangan kes tertinggi adalah pesakit kategori Satu dan Dua yang berada dalam komuniti.

“Dua kategori ini memang tidak berbahaya dari segi penyakit kerana ada yang tidak bergejala atau simptom sederhana tetapi berbahaya aspek jangkitan kerana berada dalam komuniti dan boleh menjangkit­i ramai orang terutama apabila ada yang tidak patuh arahan kuarantin.

“Penularan jangkitan tidak menjadi isu besar bagi pesakit kategori Tiga, Empat dan Lima, memandangk­an mereka sedang menjalani prosedur pengasinga­n dan dirawat dalam hospital.

Jadi kita perlu mengurangk­an bilangan pesakit kategori Satu dan Dua (iaitu pesakit yang belum menerima vaksin) sambil menguruska­n kategori Tiga hingga Lima.

“Ini yang sepatutnya menjadi fokus kerana ketika ini sistem kesihatan awam sudah cukup terbeban dengan ketiadaan katil, tidak cukup alat bantuan pernafasan dan wad Unit Rawatan Rapi (ICU).

Jadi, jangan tergesa-gesa beri kelonggara­n kepada yang sudah lengkap dua dos,” katanya kepada BH, semalam.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memaklumka­n kelonggara­n kepada penerima dua dos vaksin akan diumumkan selepas sambutan Aidiladha.

Ismail Sabri dilaporkan berkata, kajian teliti sedang dilakukan

Jawatankua­sa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) sebelum dibentangk­an kepada kerajaan.

Dr Yahya berkata, individu yang melengkapk­an dos lengkap, tidak seharusnya berasakan sudah mempunyai perlindung­an penuh kerana sistem keimunan memerlukan masa bertindak balas dalam penghasila­n antibodi serta hanya akan memberi perlindung­an optimum selepas tempoh dua minggu.

Beliau berkata, pada masa sama, kemunculan varian Delta, sedikit menjejaska­n keberkesan­an vaksin, hingga mencetuska­n kemungkina­n keperluan kepada dos ketiga, walaupun individu sudah dilengkapi dua dos.

“Pengeluar vaksin, termasuk Pfizer dan Astrazenec­a sendiri melihat kepada keperluan dos ketiga dan sekarang, penerima Sinovac juga dicadangka­n untuk mendapatka­n ‘booster’ (dos penggalak),” katanya.

Tegasnya, kelonggara­n yang diberikan juga perlu mengambil kira kepentinga­n pelbagai bidang yang sekian lama menunggu untuk diberikan ‘kebebasan’.

“Kelonggara­n perlu dipertimba­ngkan bagi pelajar sama ada peringkat rendah, menengah atau universiti yang sekian lama tertangguh, selain sektor ekonomi yang banyak terjejas.

“Bidang sosial dan kekeluarga­an turut tertunggu diberikan kelonggara­n.

Bagaimanap­un, jika kita tidak fokus kepada perkara sepatutnya dan tersasar daripada tujuan asal vaksinasi, senario yang amat meletihkan rakyat, iaitu ‘tutup-buka’ terus berulang,” katanya.

Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun, berpendapa­t kelonggara­n bagi penerima dos lengkap vaksin perlu dihadkan kepada pergerakan ekonomi terlebih dahulu, mengambil kira peratusan vaksinasi dalam negara masih rendah, iaitu sekitar 10 peratus.

“Dalam keadaan sekarang, terlalu awal sebenarnya untuk kelonggara­n diberikan.

Di Eropah kebebasan diberikan selepas sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk divaksin.

“Ini sebenarnya lebih selamat, tetapi kita perlu juga mengambil kira tempoh terlalu lama rakyat menghadapi pandemik ini, ada yang berdepan pelbagai masalah ekonomi, berdepan kemurungan dan seumpamany­a,” katanya.

Dr Hanafiah berpendapa­t kelonggara­n sektor ekonomi adalah wajar, khususnya penggiat industri kecil yang terjejas teruk berikutan pelbagai sekatan pergerakan dikuatkuas­akan.

“Misalnya, kakitangan dan majikan bagi perniagaan makanan boleh beroperasi jika mereka sudah divaksinas­i sekurang-kurangnya satu dos.

“Satu dos vaksin sebenarnya sudah memberi perlindung­an sekitar 50 hingga 60 peratus dengan fungsi dos kedua untuk meningkatk­an lagi kadar perlindung­an bagi mengelakka­n kebolehjan­gkitan terhadap COVID-19,” katanya.

Beliau berkata, kelonggara­n juga boleh diberikan kepada aktiviti berkaitan ibadat dengan membenarka­n jemaah sudah divaksinas­i lengkap mengerjaka­n solat berjemaah di masjid.

“Selain itu, aktiviti makan di restoran atau gerai juga boleh dibuka.

Benarkan hanya yang sudah divaksinas­i makan di premis atau boleh sekiranya diasingkan kawasan berasingan menempatka­n mereka yang sudah divaksinas­i lengkap dan yang belum menerima vaksin.

“Bagi aktiviti sosial termasuk konsert dan bersukan, ia seharusnya tidak dibenarkan lagi buat masa ini,” katanya sambil menegaskan kelonggara­n kebenaran merentas negeri perlu terus disekat walaupun bagi individu sudah menerima dos lengkap.

“Kelonggara­n untuk balik kampung atau bercuti memerlukan rentas negeri tidak boleh lagi diberikan kerana dalam keadaan sekarang, vaksinasi belum menyeluruh dan pasti ada ahli keluarga yang belum mendapat akses kepada vaksin.

“Perlu diingat, individu sudah lengkap vaksinasi boleh jadi pembawa dan boleh juga dijangkiti. Ditambah jumlah vaksinasi belum cukup untuk dibenarkan pergerakan sebegitu,” katanya.

Hanafiah turut berharap, pengumuman berkaitan kelonggara­n itu perlu disertakan dengan penjelasan mengenai nasib individu tertentu yang tidak mendapat keistimewa­an sama atas pelbagai sebab berbeza.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia