Berita Harian

Vaksin Sinovac dan Pfizer sama berkesan lawan virus COVID-19

- Oleh Suzalina Halid suzalina@bh.com.my

Data perubatan menunjukka­n vaksin Sinovac dan Pfizer mempunyai keberkesan­an yang sama dalam melawan virus COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tidak banyak perbezaan ditemui antara vaksin Sinovac dan Pfizer dalam penggunaan secara praktikal.

Beliau berkata, keberkesan­an itu dibuktikan melalui data perubatan mengenai pengalaman Chile menggunaka­n Sinovac yang diterbitka­n dalam laporan ‘New England Journal of Medicine’, pada 7 Julai lalu.

“Data membuktika­n, tidak ada banyak perbezaan antara vaksin Sinovac dan Pfizer dalam penggunaan­nya.

“Kedua-duanya (vaksin) sangat berkesan untuk mencegah penyakit teruk dan dimasukkan ke hospital, namun kurang berkesan menentang kesan ringan atau yang tidak mempunyai gejala,” katanya dalam kenyataan di Facebook, semalam.

Noor Hisham berkata, laporan itu melihat kepada seramai 4.2 juta penduduk lengkap divaksin berbanding 5.5 juga tidak divaksin bagi tempoh Februari hingga Mei lalu.

“Sinovac didapati mengurangk­an jangkitan COVID-19 sebanyak 65.9 peratus, mengurangk­an kemasukan ke hospital sebanyak 87.5 peratus.

“Selain itu ia mengurangk­an kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebanyak 90.3 peratus dan mengurangk­an kematian sebanyak 86.3 peratus,” katanya.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, kajian Kementeria­n Kesihatan Israel barubaru ini menunjukka­n vaksin Pfizer mengurangk­an jangkitan sebanyak 64 peratus terhadap COVID-19.

Selain itu, katanya, kementeria­n berkenaan juga menjelaska­n Pfizer menunjukka­n 93 peratus berkesan terhadap simptom yang menyebabka­n kemasukan ke hospital dan gejala serius.

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata Malaysia akan menghentik­an penggunaan Sinovac selepas bekalannya habis kerana mempunyai jumlah vaksin lain yang mencukupi untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Berikutan itu, banyak komen dalam platform media sosial mengenai kekeliruan orang ramai berhubung isu vaksin, khususnya vaksin jenis Sinovac dan keberkesan­annya.

Malah, difahamkan ramai yang menerima janji temu untuk vaksin di pusat pemberian vaksin (PPV) tidak hadir dan meminta penangguha­n kerana mahu disuntik dengan vaksin jenis Pfizer atau Astrazenec­a selepas pemberian vaksin Sinovac dihentikan.

Sinovac adalah vaksin buatan China yang diluluskan penggunaan­nya oleh Pertubuhan Kesihatan

Sedunia (WHO) bulan lalu untuk kegunaan kecemasan.

Selain di China, vaksin Sinovac kini digunakan di 22 wilayah di serata dunia, termasuk Brazil, Indonesia, Mexico, Chile, Uruguay, Thailand dan Turki.

WHO mengesyork­an vaksin ini untuk dewasa berusia 18 tahun dan ke atas dengan tempoh penjarakan dua hingga empat minggu antara dos.

Ujian keberkesan­an vaksin itu menunjukka­n ia mampu mengelakka­n penyakit bagi 51 peratus yang menerima suntikan dan mencegah kesan teruk COVID-19 serta keperluan dimasukkan ke hospital dalam kalangan 100 peratus yang diuji.

Pfizer-biotecntec­h adalah keluaran Amerika Syarikat (AS) dan Biontech dari Jerman menggunaka­n teknologi RNA (MRNA) dengan keberkesan­an dikatakan sehingga 95 peratus.

Sementara itu, satu kajian oleh kerajaan Uruguay terhadap penduduk negara itu yang menerima vaksin Sinovac menunjukka­n keberkesan­an 90 peratus mencegah mereka daripada ditahan di ICU atau berdepan risiko kematian.

Menurut kajian itu, suntikan vaksin berkenaan berupaya mengurangk­an kadar kematian sebanyak 95 peratus dan individu yang ditahan di ICU sebanyak 92 peratus.

Data itu juga menunjukka­n 61 peratus keberkesan­an menghalang jangkitan wabak COVID-19.

Kajian itu membabitka­n 795,684 petugas kesihatan dan orang awam berumur 18 hingga 69 tahun yang sudah menerima suntikan kedua vaksin Sinovac dibandingk­an dengan individu yang belum menerima suntikan vaksin bagi menentukan keberkesan­annya.

 ?? (Foto Hazreen Mohamad/bh) ?? Petugas sukarelawa­n berpakaian baju Melayu dan baju kurung ketika bertugas membantu penerima vaksin pada Aidiladha di Bangi Avenue Convention Center, semalam.
(Foto Hazreen Mohamad/bh) Petugas sukarelawa­n berpakaian baju Melayu dan baju kurung ketika bertugas membantu penerima vaksin pada Aidiladha di Bangi Avenue Convention Center, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia