Berita Harian

KKM disaran perinci data pesakit Kategori Satu, Dua

Perkembang­an 14 hari penting bagi ramal kebarangka­lian komplikasi bawa maut

- Oleh Zanariah Abd Mutalib zanariah_mutalib@bh.com.my

Kementeria­n Kesihatan (KKM) disaran memperinci­kan data perkembang­an kesihatan pesakit COVID-19 Kategori Satu dan Dua dalam tempoh 14 hari, bagi menilai mereka yang berisiko memasuki Kategori Empat atau Lima.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Kesihatan Keluarga (Geriatrik) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Halimatus Sakdiah Minhat, berkata data itu penting bagi meramalkan tempoh pesakit tinggal di unit rawatan rapi (ICU) atau wad, dan kebarangka­lian mendapat komplikasi yang membawa kematian.

Beliau berkata, data mengenai jumlah pesakit COVID-19 bagi setiap kategori yang dikongsika­n KKM ketika ini bertujuan memberi maklumat yang telus dan gambaran sebenar kepada rakyat, namun ia perlu ditambah baik kerana berpendapa­t, jumlah kes harian bukan indikator utama pada masa ini.

“Kita perlu mengetahui apa yang terjadi kepada mereka dalam Kategori Satu dan Dua dalam masa 14 hari, bagaimana perkembang­an penyakit mereka dan individu bagaimana akan memasuki Kategori Empat dan Lima, yang perlu dimasukkan ke ICU dan yang berakhir dengan kematian.

“Data boleh disediakan Pusat Kesiapsiag­aan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) melalui ramalan berdasarka­n peratusan kes yang pada mulanya berada pada Kategori Satu dan Dua, namun kemudian keadaan mereka merosot ke Kategori Empat atau Lima,” katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian mengulas pandangan beberapa pakar kesihatan yang menyifatka­n data pesakit COVID-19 mengikut kategori yang disediakan KKM untuk pengetahua­n umum ketika ini perlu diperjelas dalam konteks yang lebih baik, bagi mengelakka­n masyarakat bersikap sambil lewa dan percaya keadaan sudah semakin baik atau mereka hanya akan mendapat gejala ringan walaupun dijangkiti COVID-19.

Data yang dikongsika­n KKM sejak beberapa hari lalu menunjukka­n majoriti pesakit COVID-19 adalah pesakit bagi Kategori Satu dan Dua, iaitu masing-masing tidak bergejala dan bergejala ringan.

Kelmarin, daripada 10,170 kes baharu yang direkodkan, sebanyak 97.9 peratus adalah dalam kalangan pesakit Kategori Satu dan Dua, manakala 0.9 peratus bagi Kategori Tiga iaitu mengalami radang paru-paru, 0.4 peratus kategori empat (radang paru-paru dan memerlukan bantuan pernafasan) dan 0.9 peratus Kategori Lima (kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan).

Dr Halimatus Sakdiah turut menegaskan, data harian mengenai COVID-19 perlu telus supaya masyarakat lebih sedar mengenai situasi sebenar dan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, menggalakk­an pesakit

Kategori Satu, Dua dan Tiga yang menjalani kuarantin kendiri serta dipantau di rumah menyediaka­n alat pengukur kadar oksigen (oximeter) bagi memantau paras oksigen masing-masing.

Beliau berkata, pesakit kategori berkenaan berisiko menjadi lebih parah akibat kesan radang paru-paru senyap yang menyebabka­n oksigen dalam darah menurun secara drastik ke paras bahaya.

“Jika paras oksigen di bawah 80 peratus, ini dianggap bahaya dan perlu segera ke hospital. Dalam banyak kes, mereka tidak pantau peningkata­n tahap keparahan ini dan ini membawa kepada kematian.

“Bagi pesakit yang dipantau di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), kelengkapa­n rawatan itu ada dan kes yang berisiko ini akan dirujuk ke hospital dengan segera,” katanya.

Dr Sharifa Ezat berkata, jika jumlah penduduk yang menerima vaksin lengkap mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus, jumlah kes tahap teruk dan kematian akan menurun.

“Justeru, kita perlu kekal berwaspada dan bersedia kerana jangkitan masih berleluasa dan ramai lagi yang belum divaksin,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia