Berita Harian

Kes baharu masih 5 angka

12,188 jangkitan pesakit berada dalam kategori satu, dua

- Oleh Noor Atiqah Sulaiman bhnews@bh.com.my

Putrajaya: Sebanyak 12,366 kes baharu COVID-19 dilaporkan semalam, dengan 12,188 atau 98.5 peratus berada dalam kategori satu dan dua.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan semalam, 7,327 kes atau 59.3 peratus berada dalam kategori satu atau tidak bergejala, manakala 4,861 kes bersamaan 39.2 peratus berada dalam kategori dua atau pun bergejala ringan.

“Secara keseluruha­nnya, hanya 1.5 peratus kes dilaporkan semalam berada dalam kategori tiga hingga lima, iaitu 93 kes (0.8 peratus) dalam kategori tiga, iaitu mempunyai radang paru-paru.

“Sebanyak 33 kes pula atau 0.3 peratus dalam kategori empat dengan radang paru-paru serta memerlukan bantuan oksigen, manakala 52 kes (0.4 peratus) dalam kategori lima, iaitu kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mengenai pertambaha­n kes, Dr Noor Hisham berkata, Selangor kekal penyumbang utama kes baharu dengan 5,524 kes diikuti Kuala Lumpur, 1,580 kes dan Negeri Sembilan iaitu 970 kes.

Beliau berkata, semua negeri mencatatka­n pertambaha­n kes baharu termasuk Johor dengan 793 kes; Kedah (701); Sabah (657); Pulau Pinang (460); Sarawak (351); Melaka (309); Perak (295); Pahang (288) dan Terengganu (190).

“Selain itu, Kelantan dengan 179 kes; Putrajaya (50); Labuan (17) dan Perlis (dua).

“Sehingga kini, seramai 133,703 kes masih aktif dengan kebolehjan­gkitan COVID-19.

“Daripada jumlah kes itu juga, sebanyak 924 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 448 kes masih memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 93 kes kematian dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di negara ini sebanyak 7,241 kes.

Beliau berkata, kes kematian itu membabitka­n 91 rakyat tempatan, manakala dua lagi adalah warga asing. Selangor masih menjadi negeri tertinggi melaporkan pertambaha­n kes kematian semalam, iaitu 31 kes.

“Johor pula mencatatka­n 16 kes kematian; Melaka (sembilan); Kedah (lapan); Pahang (tujuh); lima kes masing-masing di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Perak manakala dua kes masing-masing di Kuala Lumpur, Sabah serta Sarawak serta satu kes di Terengganu,” katanya.

Mengenai 18 kluster baharu direkodkan semalam, Dr Noor Hisham berkata, 13 daripadany­a dikesan berpunca di tempat kerja, dua masing-masing dalam kalangan komuniti dan kumpulan berisiko tinggi, manakala satu dalam pusat tahanan.

Kluster tempat kerja dikenali sebagai Kluster Industri Jalan Haji Sirat; Kluster Industri Persiaran Subang; Kluster Alam Jaya Lima; Kluster Industri Kenanga Satu; Kluster Simpang Jeram dan Kluster Jalan Sri Pelangi.

Turut dikesan ialah Kluster Jalan Istimewa Dua; Kluster Tapak Bina Jalan Kia Peng; Kluster Jalan Berhala Merah; Kluster Jalan Stadium; Kluster Industri Teknologi Cheng 30; Kluster Jalan Waterfront serta Kluster Pasar Besar Dungun.

“Bagi kluster komuniti pula ia dikenali sebagai Kluster Kampung Pukak dan Kluster Sungai Seputeh, manakala kluster kumpulan berisiko dinamakan sebagai Kluster Jalan Bukit Chagar serta Kluster Paya Luas. Kluster terakhir dikenali dalam pusat tahanan, iaitu Kluster DTI Bidor,” katanya.

 ??  ?? Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia