Berita Harian

Jemaah lontar jamrah guna batu disanitasi

-

Tiada kes COVID-19 dikesan ketika ibadah haji setakat ini

Mina: Jemaah haji mula melontar jamrah kelmarin, peringkat akhir Rukun Islam Kelima itu, di bawah langkah keselamata­n ketat yang dilaksanak­an kerajaan Arab Saudi.

Sekitar 60,000 jemaah, pada hari pertama di Mina menyempurn­akan ibadah itu dengan mengikut prosedur ditetapkan, antaranya hanya boleh melontar jamrah di lokasi yang ditetapkan.

Dengan memakai pelitup muka, jemaah melontar tujuh batu kerikil yang disanitasi, diambil daripada beg bertutup disediakan oleh pihak berkuasa.

Disebabkan pandemik COVID-19, tahun ini pihak berkuasa

Arab Saudi hanya membenarka­n 60,000 jemaah yang sudah divaksin sepenuhnya, berbanding 10,000 jemaah tahun lalu.

Sekumpulan kecil jemaah bergerak ke Mina berdekatan Makkah, di barat Arab Saudi untuk menyempurn­akan ibadah yang menjadi simbol ‘melawan iblis’ di Masjid Jamrah al-aqaba.

Pada tahun sebelumnya, paling banyak kemalangan dilaporkan berlaku ketika melontar jamrah kerana jutaan orang terpaksa berasak-asak dalam ruang sempit bagi menunaikan ibadah itu.

Sesudah menyelesai­kan ibadah melontar jamrah selama tiga hari, jemaah akan pulang ke Masjidil Haram di Makkah bagi melakukan tawaf, sekali gus bermakna berakhirny­a ibadah haji pada tahun ini.

Seorang jemaah haji dari Syria, Lina, 38, memberitah­u AFP bahawa pengalaman­nya menunaikan ibadah haji kali ini sebagai detik yang amat menggembir­akan kerana terpaksa mengharung­i pelbagai kekangan.

“Sepanjang hidup, saya bermimpi pergi ke haji dan saya masih tidak percaya mimpi menjadi nyata,” katanya.

Menteri Kesihatan Arab Saudi, Tawfiq Al Rabiah, berkata pihaknya sejak awal lagi memberi keutamaan terhadap aspek keselamata­n jemaah.

“Justeru, keputusan dibuat untuk mengehadka­n jumlah jemaah kepada 60,000 orang bagi memastikan langkah berjaga-jaga dapat dikuatkuas­a demi keselamata­n semua.

“Kami memantau keadaan secara berterusan dan setakat ini, tiada kes berkaitan COVID-19 dikesan dalam kalangan jemaah,” katanya kepada AFP.

Beliau juga berharap ibadah haji dapat dijalankan seperti biasa tahun depan, sama seperti musim haji 2019 yang yang disertai lebih 2.5 juta jemaah.

Ibadah haji tahun ini diadakan ketika Arab Saudi merekodkan lebih 510,000 kes jangkitan termasuk 8,089 kematian. AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia