Berita Harian

Peluang kedua Gavin, Kelly

- Oleh Syed Riduan Ahmad

Dua pemain boleh atasi pencapaian Rio 2016 smriduan@bh.com.my

Kuala Lumpur: Tiada sasaran diletakkan buat dua pemain golf profesiona­l negara, Gavin Kyle Green dan Kelly Tan, tetapi tidak bermakna permata golf negara itu tidak mampu melakar kejutan di Olimpik Tokyo.

Ia adalah penampilan kedua Gavin dan Kelly selepas layak buat julung kali di Rio 2016, bersama pemain berpengala­man Danny Chia dan Michelle Koh.

Di Olimpik Rio, Gavin mencatat keputusan terbaik dengan menduduki tempat ke-47 apabila mencatat tiga atas par 287, diikuti Danny yang mencatat empat atas par 288 untuk menamatkan saingan di tempat ke-48.

Dalam acara wanita, Kelly menduduki tangga ke-51 dengan catatan 13 atas par 297 manakala Michelle mengumpul 24 atas par 308 untuk berada di tangga ke-58.

Untuk Olimpik Tokyo kali ini, hanya Gavin dan Kelly yang akan membawa cabaran negara dengan peluang dilihat lebih cerah untuk memperbaik­i kedudukan berdasarka­n pengalaman dikutip kedua-dua pemain itu sejak lima tahun lalu.

Walaupun keputusan dalam beberapa kejohanan terakhir disertai mereka tidak begitu memberangs­angkan, ia bukan penghalang untuk Gavin dan Kelly mengharumk­an nama negara di temasya yang akan bermula Jumaat ini hingga 8 Ogos nanti.

Gavin yang mengutip pengalaman di Jelajah Eropah, berjaya melepasi had kelayakan dalam 14 daripada 18 kejohanan disertai tahun lalu dan pencapaian terbaik adalah berkongsi tangga ketiga di Antarabang­sa Saudi - dengan catatan sembilan bawah par 271, untuk berkongsi kedudukan dengan Phil Mickelson dan Thomas Pieters.

Tahun ini dia hanya mampu melepasi had kelayakan dalam tiga daripada 13 kejohanan, dengan keputusan terbaik adalah terikat di tangga ke-41 di Terbuka Kenya.

Kelly yang beraksi di Jelajah LPGA, tampil lebih konsisten dengan melepasi cut dalam 14 daripada 15 kejohanan dan keputusan terbaik adalah berkongsi tangga kesembilan di Marathon LPGA Classic tahun lalu.

Tahun ini dia melepasi semua had kelayakan dalam sembilan kejohanan disertai dan keputusan terbaik adalah berkongsi tangga ke-22 di Kejuaraan Lotte April lalu.

Acara golf akan berlangsun­g di Kasumigase­ki Country Club, Saitama, kira-kira 65 kilometer (km) dari Tokyo dari 29 Julai hingga 7 Ogos.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia