Berita Harian

Logo khas perlu ciri keselamata­n tinggi

-

Kuala Lumpur: Penggunaan logo khas pada barang kawalan dan bersubsidi di pasaran perlu disertakan dengan ciri keselamata­n tinggi supaya tidak berlaku ketirisan bagi mengekang penyeludup­an.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata jika hanya logo biasa, tidak mustahil ia boleh dipalsukan, sekali gus menjadikan kaedah itu sia-sia.

Katanya, penggunaan logo khas dengan ciri keselamata­n penting untuk mengelakka­n penyeludup­an berbanding penggunaan­nya di pasaran tempatan kerana ramai yang sudah mengetahui jenis barang kawalan.

“Selain itu, kawalan ketat di pintu sempadan perlu ada memandangk­an kerajaan mengalami kerugian besar akibat ketirisan dalam isu penyeludup­an.

“Bagi saya, tiada keperluan mendesak atau apakah nilai tambah untuk meletakkan logo khas pada barang kawalan dan bersubsidi di pasaran jika tiada pengawalan ketat di pintu sempadan negara,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Isnin lalu, Timbalan Menteri Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid menyatakan penggunaan logo khas itu akan dilaksanak­an secara berperingk­at bermula bulan ini membabitka­n 12 barangan bagi memudahkan pengguna serta menangani isu penyeludup­an.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata apabila satu sistem sudah disamarata­kan, ia boleh memudahkan pelbagai urusan.

Katanya, kini banyak perkara masih tidak jelas dalam kalangan masyarakat dan pendekatan dilakukan ini sekurang-kurangnya mampu menjadikan semua orang cakna dengan pelbagai perkara.

“Apabila ramai cakna dan jika berlaku penyeludup­an, orang ramai boleh segera melaporkan kepada pihak berkuasa berbanding sebelum ini yang mungkin kurang jelas mengenai barang berkenaan.

“Mereka juga boleh menjadi mata dan telinga untuk lebih bertanya apakah tujuan barang berkenaan jika dibawa keluar dan sebagainya. Di sebalik logo itu wujud pendekatan ambil berat dalam diri setiap orang,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia