Berita Harian

Makan dalam restoran, kedai dibenarkan untuk individu lengkap dua dos vaksin mulai hari ini

Hanya individu lengkap vaksinasi boleh nikmati kemudahan tambahan

- Oleh Ahmad Suhael Adnan ahmad.suhael@bh.com.my

Aktiviti ‘dine-in’ atau makan di restoran dibenarkan kepada individu yang lengkap divaksin di negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa hari ini.

Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kemudahan tambahan itu antara yang diputuskan dalam Sidang Khas Majlis Keselamata­n Negara (MKN), semalam.

Beliau berkata, kemudahan tambahan lain bagi negeri Fasa 1 dan seterusnya, termasuk aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpula­n serta operasi pasar malam dan pasar minggu.

Katanya, kemudahan tambahan itu diputuskan selepas mengambil kira perkembang­an positif kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di seluruh negara yang sudah melebihi 50 peratus, lebih awal daripada sasaran, iaitu 31 Ogos.

Selain itu, katanya, ia turut mengambil kira penurunan bilangan kes bagi kategori 3 hingga 5 di Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan dan Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Kemudahan tambahan yang dibenarkan bagi sektor sosial secara amnya adalah aktiviti ‘dine-in’ (makan di restoran) kini dibenarkan bagi negeri Fasa 1 PPN dan seterusnya.

“Saya ingin menyaranka­n kepada pengusaha premis kedai makan supaya menyediaka­n lebih banyak ruang tempat makan di bahagian luar premis bagi pengudaraa­n yang lebih baik.

“Risiko penyebaran virus COVID-19 adalah jauh lebih tinggi di dalam premis berbanding di luar.

“Pemilik premis kedai makan perlu pastikan mereka yang memasuki premis untuk dine-in mesti memaparkan sijil digital vaksinasi COVID-19, yang menunjukka­n individu itu menerima vaksinasi lengkap.

“Bagi pasangan yang menerima vaksinasi lengkap dan ingin membawa anak berusia 17 tahun dan ke bawah untuk dine-in di premis kedai makan, pastikan anak anda mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Muhyiddin berkata, aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpula­n juga dibenarkan di negeri Fasa 1 PPN dan seterusnya, serta terpakai dalam daerah sama sahaja.

Katanya, aktiviti itu dibenarkan adalah seperti jogging, senaman, taichi, berbasikal, skateboard­ing, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis (single), badminton (single), golf, permotoran dan seumpamany­a.

Jelasnya, aktiviti itu dibenarkan dengan mematuhi penjarakan fizikal dan dilakukan di kawasan terbuka dan separa terbuka bermula jam 6 pagi hingga 10 malam.

“Aktiviti dibenarkan juga termasuk perkelahan dan perkhemaha­n. Penyertaan anak berusia 17 tahun dan ke bawah adalah dibenarkan dengan pematuhan SOP yang ketat.

“Selain itu, dine-in di restoran atau kafe di premis rumah kelab dibenarkan dan pemilik premis perlu pastikan mereka yang memasuki premis untuk dine-in mesti menunjukka­n sijil digital vaksinasi COVID-19.

“Bagaimanap­un, operasi bilik persalinan atau bilik mandi di premis rumah kelab tidak dibenarkan bagi mengelakka­n perkumpula­n selepas bersukan dan mengurangk­an risiko jangkitan,” katanya.

Mengulas kemudahan tambahan sektor perdaganga­n dan pengedaran di negeri Fasa 1 PPN dan lain-lain, Muhyiddin berkata, operasi pasar malam dan pasar minggu turut dibenarkan.

Beliau menjelaska­n, selain penurunan jumlah kes kategori 3 dan 5 di enam negeri dan wilayah berkenaan, semua kemudahan itu turut mengambil kira situasi di Jabatan Kecemasan di Lembah Klang yang bertambah baik.

Sebagai contoh, katanya, purata pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan untuk ditempatka­n ke wad pesakit bagi hospital KKM di Lembah Klang sudah menurun, selari pencapaian kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di Lembah Klang yang mencecah 73.8 peratus.

 ?? (Foto hiasan) ?? Aktiviti makan di restoran masih kekalkan SOP elak jangkitan.
(Foto hiasan) Aktiviti makan di restoran masih kekalkan SOP elak jangkitan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia