Berita Harian

Tumpuan terarah siapa calon isi jawatan Timbalan Perdana Menteri

Pengalaman dalam parti, pentadbira­n penuhi kriteria

-

Dalam penantian nama Perdana Menteri yang baharu diperkenan­kan oleh Yang di-pertuan Agong selepas semua ahli Dewan Rakyat mengemukak­an akuan bersumpah mengenai sokongan masing-masing kelmarin, tumpuan kini terarah pula kepada bakal calon Timbalan Perdana Menteri.

Walaupun pelantikan bagi jawatan nombor dua dalam kerajaan itu menjadi prerogatif Perdana Menteri, secara tradisi selama ini ia akan diisi wakil parti yang mempunyai kedudukan terbesar dalam gabungan yang menubuhkan kerajaan.

Ketika nama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, disebut-sebut sebagai calon pilihan untuk Perdana Menteri, dua pemimpin BERSATU iaitu Datuk Seri Hamzah Zainuddin atau Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, disifatkan paling sesuai untuk berganding dengannya sebagai timbalan.

Namun, masa sama penganalis­is politik berpendapa­t, jika ketua pembangkan­g yang juga Presiden PKR selaku Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendapat majoriti dilantik sebagai Perdana

Menteri, Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, pula paling sesuai sebagai timbalanny­a.

Penganalis­is politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed, menyifatka­n Hamzah dan Mohamed Azmin adalah dua nama yang agak signifikan ketika ini untuk dicalonkan sebagai orang nombor dua dalam kerajaan.

Dalam percaturan itu, beliau berpendapa­t, Hamzah mempunyai sedikit kelebihan berbanding Mohamed Azmin berdasarka­n latar belakang parti politik, walaupun kedua-duanya menyumbang kepada pembentuka­n Perikatan Nasional (PN).

“Selain berpengala­man dalam kancah politik, jika dilihat pada ‘kelayakan’ Hamzah, beliau pernah beberapa kali menjadi menteri sama ada ketika Barisan Nasional (BN) memerintah dan ketika PN menerajui kerajaan sebelum ini.

“Mohamed Azmin pula, berpengala­man dalam politik dan sebelum ini, pernah menyandang jawatan sebagai Menteri Kanan (Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri). Bagi saya, Mohamed Azmin susah sikit sebab beliau bukan asal dari BERSATU kerana sebelum ini bersama PKR,” katanya kepada BH.

Mengulas sama ada pemimpin parti selain BERSATU boleh dicalonkan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Martadha berkata, secara tradisinya, mana-mana parti yang mempunyai komposisi kerusi yang banyak, maka pemimpinny­a akan dipilih untuk dilantik mengisi jawatan berkenaan.

Katanya, apabila Ismail Sabri dari UMNO dilantik sebagai Perdana Menteri, maka ‘secara automatikn­ya’ pemimpin BERSATU perlu dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Dari segi keupayaan membentuk kerajaan, jawatan nombor satu dan dua diberikan kepada parti yang mempunyai jumlah kerusi yang besar iaitu BN-UMNO sebagai pimpinan dan PN-BERSATU.

“Itu sesuatu yang praktikal apabila jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada parti dominan,” katanya.

Selain itu, katanya, bagi mengiktira­f pengorbana­n dan pengalaman menguruska­n pandemik, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, perlu dipertimba­ng untuk dilantik sebagai Menteri Mentor bertaraf Menteri Kanan.

Walaupun pensyarah kanan Jabatan Pengajian Umum Kolej Universiti Poly-tech MARA (KUPTM), Dr Sharifah Syahirah Syed Sheikh, bersetuju ahli Parlimen daripada BERSATU dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau menganggap Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed, paling sesuai mengisi jawatan itu.

Katanya, ia berdasarka­n pengalaman luas Mustapa yang pernah memegang portfolio sebagai Menteri Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri serta Menteri Di Jabatan Perdana

Menteri (Ekonomi).

Setakat semalam, berdasarka­n kenyataan parti dan ahli Parlimen, Ismail Sabri dikatakan sudah mendapat pencalonan atau sokongan 114 daripada 220 ahli Dewan Rakyat, manakala sokongan untuk Anwar tidak pula diketahui, walaupun Ahli Parlimen Port Dickson itu mendapat sokongan padu rakan dalam PH serta WARISAN.

Mengulas perkembang­an itu juga, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir, berpendapa­t jika Anwar berjaya mendapat majoriti hingga dilantik sebagai Perdana Menteri, tiada pemimpin lain dalam PH Plus layak diangkat mengisi jawatan timbalanny­a, selain daripada Mohd Shafie.

Katanya, pengalaman luas Mohd Shafie yang juga bekas Ketua Menteri Sabah itu amat meyakinkan dalam kancah politik negara, ditambah pernah dilantik sebagai menteri di peringkat Persekutua­n.

“Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) memiliki kerusi sangat sedikit. Jika ahli Parlimen parti itu dilantik, parti lain akan kecewa. Tak mungkin juga dari DAP kerana akan beri imej tak baik kepada Anwar, melainkan ada ahli Parlimen Melayu yang lain.

“Mohd Shafie berpengala­man luas dalam politik, berjawatan tinggi dalam parti dan dikenali di peringkat nasional. Jadi sesuai dengan aspirasi Malaysia baharu yang mengambil kira aspirasi sejarah pembentuka­n Malaysia 58 tahun lalu.

“Dalam erti kata lain, inilah waktunya untuk melihat pemimpin dari Sabah atau Sarawak memperliha­tkan satu politik baharu. Ini waktu mengukir sejarah baharu. Siapa kata pemimpin dari Semenanjun­g saja yang hanya layak jadi Timbalan Perdana Menteri? Bukan ada dalam Perlembaga­an,” katanya.

Senada Mohd Shafie layak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, geostrateg­is Dr Azmi Hassan, berpendapa­t pelantikan ahli Parlimen dari DAP bagi menyandang jawatan nombor dua itu adalah perkara yang sensitif walaupun DAP adalah parti kedua terbesar dalam PH selepas PKR.

Beliau berkata, sekiranya Anwar mendapat sokongan hingga membolehka­n beliau dilantik sebagai Perdana Menteri, maka Presiden WARISAN wajar diangkat mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Lazimnya jawatan itu diberikan kepada parti kedua terbesar dalam kerjasama parti politik. Ini kita dapat lihat dalam PH dan juga PN di mana jawatan itu diberikan kepada parti kedua terbesar sebagai tanda sokongan.

“Katakanlah Anwar sebagai Perdana Menteri, maka secara automatik jawatan Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada DAP tetapi ia akan dianggap sensitif. Justeru ini boleh ditimbal balas dengan jawatan atau portfolio penting lain kepada ahli Parlimen dari DAP,” katanya.

 ??  ?? Mohd Shafie Apdal
Mohd Shafie Apdal
 ??  ?? Hamzah Zainuddin
Hamzah Zainuddin
 ??  ?? Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia