Berita Harian

Pendekatan teliti Agong pilih PM baharu elak krisis politik berulang

- Oleh Fahmy A Rosli fahmy.azril@bh.com.my

Sesi menghadap 114 Ahli Parlimen dengan Yang di-pertuan Agong di Istana Negara, semalam dilihat satu pendekatan teliti dan cermat diambil baginda dalam memilih calon Perdana Menteri baharu bagi mengelak berulangny­a krisis politik di negara ini.

Penganalis­is dan pemerhati politik berpendapa­t, ketelitian proses dilakukan Yang di-pertuan Agong Al-sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-mustafa Billah itu adalah penting dalam menentukan ketelusan pemilihan dan keabsahan sokongan Ahli Parlimen yang mencalonka­n Perdana Menteri kesembilan.

Penganalis­is politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata kaedah itu bagi membolehka­n Seri Paduka membuat penilaian mereka yang menyokong Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, terus kekal berbuat demikian.

“Juga sesi menghadap hari ini (semalam) mustahak untuk Yang di-pertuan Agong mendapatka­n kepastian daripada 114 Ahli Parlimen terbabit.

“Jika ada usul percaya terhadap Perdana Menteri pada sesi Parlimen bulan depan, mereka yang menyokongn­ya mesti terus menyokong agar tidak berlaku lagi perubahan jawatan itu dalam masa terdekat.

“Jika berulangny­a ‘tragedi’ Perdana Menteri meletakkan jawatan lagi, perkara ini boleh mengganggu kelancaran pentadbira­n dan krisis politik yang berpanjang­an,” katanya kepada BH.

Terdahulu, sesi menghadap di Istana Negara semalam hanya membabitka­n 114 ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Bebas, manakala belum ada lagi jemputan untuk ahli Parlimen pembangkan­g.

Sesi semalam dilakukan secara berperingk­at dengan kumpulan pertama bermula jam 10.30 pagi, diikuti kumpulan kedua 11.10 pagi, kumpulan ketiga (2 petang), kumpulan keempat (3.10 petang) dan kumpulan kelima (4.20 petang).

Daripada lima sesi mengadap itu, empat sesi dibuat secara fizikal dengan ahli Parlimen yang menghadap diberi tempoh satu hingga dua minit seorang secara bergilir-gilir untuk menyembah maklum secara lisan sokonganny­a kepada calon Perdana Menteri.

Bagi Ahli Parlimen GPS, sesi menghadap mereka disempurna­kan secara maya dari Kuching, Sarawak.

Berdasarka­n kenyataan parti-parti utama dan ahli Parlimen sehingga petang semalam, nama Ismail Sabri makin jelas sebagai calon Perdana Menteri bagi menggantik­an Muhyiddin, manakala Pakatan Harapan (PH) kekal mencalonka­n Pengerusin­ya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ismail Sabri kini dilaporkan memperoleh 114 sokongan ahli

Parlimen dari BN/UMNO dan Perikatan Nasional (PN) yang menggabung­kan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) serta Parti Bersatu Sabah (PBS) serta lima ahli Parlimen Bebas.

Sementara Anwar pula memperoleh 105 sokongan daripada PH, Parti Warisan Sabah (WARISAN) serta Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Parti Sarawak Bersatu (PSB) serta dua ahli Parlimen Bebas.

Selasa lalu, semua ahli Dewan Rakyat diminta menyerahka­n akuan bersumpah (SD) untuk menamakan seorang calon Perdana Menteri kesembilan melalui notis ditandatan­gani Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Notis berkenaan bagi membolehka­n seorang daripada mereka yang mempunyai kepercayaa­n majoriti, dilantik sebagai Perdana Menteri susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Ogos lalu.

Surat akuan itu perlu diserahkan kepada pihak Istana Negara selewat-lewatnya sebelum 4 petang, kelmarin.

Sementara itu, penganalis­is politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamuruga­n Pandian pula berkata, tujuan Seri Paduka memanggil 114 Ahli Parlimen BN, PN, GPS dan Bebas masuk menghadap berkemungk­inan untuk mendapat kepastian SD yang dibuat masing-masing, kelmarin.

Katanya, dengan cara memanggil menghadap seorang demi seorang, Seri Paduka boleh menentukan keabsahan SD yang dihantar kepada baginda.

“Berdasarka­n SD yang dihantar semalam (kelmarin), saya berpandang­an mungkin Yang di-pertuan Agong mahukan satu lagi kepastian menerusi pertemuan secara individu ahli Parlimen yang memberikan sokongan kepada Ismail Sabri.

“Selain mencari keabsahan ke atas apa yang telah dinyatakan mereka, baginda mahu memastikan ada ketelusan dalam pemilihan Perdana Menteri walaupun ia kuasa mutlak terletak kepada baginda sendiri.

“Amalan ini dilakukan sejajar dengan perubahan politik terbaharu yang mungkin penting untuk memastikan keabsahan di peringkat Istana Negara dengan prosedurny­a jelas. Di peringkat ahli Parlimen pun penerimaan­nya juga jelas dan memelihara soal kredibilit­i,” katanya.

Berkongsi pendapat sama, Pensyarah Kanan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabang­sa (COLGIS) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff, berkata pendekatan Yang di-pertuan Agong itu jelas menunjukka­n baginda seorang yang cermat, teliti dan serius supaya kemelut politik negara diselesaik­an secepat mungkin.

Dengan cara itu, katanya, Seri Paduka dapat memastikan Perdana Menteri baharu kelak benar-benar mempunyai kepercayaa­n majoriti.

Beliau berkata, tindakan baginda itu juga dapat memastikan episod Perdana Menteri sebelum ini yang tidak memperoleh sokongan majoriti, tidak lagi berulang.

“Semua tindakan ini adalah amat penting bagi membolehka­n baginda benar-benar melaksanak­an tanggungja­wab selaras dengan peruntukan Perlembaga­an Persekutua­n.

“Ini khususnya untuk memastikan Perkara 43 (2) (a) yang mengkehend­aki Seri Paduka melantik Perdana Menteri dalam kalangan seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Seri Paduka mungkin mendapat kepercayaa­n majoriti ahli Dewan Rakyat itu, dilaksana dengan benar-benar berkesan.

“Saya optimis dengan kebijaksan­aan baginda, pembentuka­n sebuah kerajaan baharu yang lebih stabil dapat dibuat dan ini mustahak supaya dapat memberi tumpuan kepada usaha memerangi pandemik COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Sharif berkata pada sesi menghadap itu, Seri Paduka menitahkan setiap yang hadir memperkena­lkan diri, kawasan Parlimen yang diwakili serta menyatakan nama pemimpin yang disokong.

“Sesi diadakan seorang demi seorang dan perjumpaan berlangsun­g lebih kurang satu minit untuk setiap ahli Parlimen,” katanya.

Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata semua 17 Ahli Parlimen GPS telah mengesahka­n kepada Yang di-pertuan Agong bahawa sokongan mereka kepada Perdana Menteri kesembilan adalah atas rela hati.

Seorang lagi ahli Parlimen dari GPS yang enggan namanya disebut berkata: “Kami menghadap seorang demi seorang dan Tuanku bertanya setiap orang, apakah pilihan dibuat secara rela hati,” katanya.

Pengarah Komunikasi Strategik PKR yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, tiada sebarang jemputan diterima pakatan itu setakat ini untuk ke Istana Negara.

BERNAMA pula melaporkan, Presiden Amanah, Mohd Sabu ketika manjawab mesej melalui aplikasi Whatsapp bagi isu sama berkata: ‘Belum lagi’.

Selesai sesi menghadap semalam, tumpuan ke Istana Negara dijangka berterusan apabila hari ini dijadualka­n berlangsun­g sesi Perbincang­an Khas Raja-raja Melayu.

Yang di-pertuan Agong dijangka akan mengumumka­n Ahli Parlimen yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaa­n majoriti untuk diangkat sebagai Perdana Menteri selepas Perbincang­an Khas ini.

 ?? (Foto BERNAMA) ?? Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga calon Perdana Menteri melambai tangan kepada pengamal media sewaktu bas yang dinaiki tiba di pintu masuk Istana Negara, semalam.
(Foto BERNAMA) Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga calon Perdana Menteri melambai tangan kepada pengamal media sewaktu bas yang dinaiki tiba di pintu masuk Istana Negara, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia