Berita Harian

Kerajaan negeri nafi kuari punca banjir

MB jelaskan aliran air datang dari puncak gunung

- Oleh M Hifzuddin Ikhsan, Noorazura Abdul Rahman dan Zuliaty Zulkiffli bhnews@bh.com.my

Merbok: Kewujudan dua kuari yang beroperasi sejak lebih 10 tahun lalu dan pembersiha­n hutan, di sini, didakwa menjadi punca banjir di kawasan penempatan berdekatan kaki Gunung Jerai, kelmarin.

Kuari bijih besi seluas lebih 26 hektar berdekatan Pusat Rekreasi Tupah berkenaan dikatakan menjadi punca Sungai Tupah menjadi cetek sehingga tidak mampu menampung aliran air yang turun dari puncak Gunung Jerai.

Keadaan bertambah buruk apabila kawasan kaki gunung itu didakwa turut diteroka dan diratakan bagi aktiviti penanaman pokok durian serta tanaman lain yang dilihat berada terlalu hampir dengan Sungai Tupah.

Keadaan sama berlaku di kuari batu berdekatan Singkir, yang menjejaska­n aliran sungai kecil yang mengalir melalui beberapa kampung berdekatan kawasan berkenaan.

Tinjauan wartawan dan jurugambar di kuari bijih besi Tupah, semalam mendapati, kegiatan mengorek masih dilakukan pekerja seperti biasa walaupun jambatan menghubung­kan jalan utama ke tapak kuari roboh akibat dilanda kepala air.

Selain itu, terdapat kawasan kecil di tebing Sungai Tupah didapati baru dirata dan pokok ditebang, dipercayai bagi melaksanak­an aktiviti pertanian oleh pihak tertentu.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, ketika ditemui bagaimanap­un menafikan dakwaan itu.

“Kejadian kepala air yang berlaku berpunca dari puncak gunung, manakala kedudukan kuari pula adalah pada bahagian kaki gunung. Aliran air datang dari atas puncak gunung dan kuari pula berada di bawah. Jika hendak dakwa kuari ini menyebabka­n sumber air yang ‘redah’ rumah orang ramai, saya rasa tak masuk akal.

“Air itu bermula 200 meter di atas gunung, di atas gunung bukan ada apa tapi ia memang dari sana, saya pun tak tahu bagaimana mereka boleh kaitkan kawasan di kaki gunung mengakibat­kan kepala air,” katanya selepas menyerahka­n faedah Pertubuhan

Keselamata­n Sosial (PERKESO) kepada waris mangsa kepala air, di Kampung Sedaka, di sini, petang semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Abdul Wahab Mat Yasin, berkata tiada kesan tanah lapang atau kawasan terbuka di puncak Gunung Jerai dan Titi Hayun, yang menunjukka­n berlaku pembersiha­n hutan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, pemantauan udara bomba dengan helikopter Agusta AW189 hanya mendapati hanya terdapat kawasan kesan aliran air akibat kejadian kepala air, kelmarin.

“Kita juga dapati terdapat sisa kayu dan lumpur serta batu yang turun dari atas hingga ke kawasan perkampung­an dan kawasan resort sekitar anak sungai yang ada,” katanya.

 ?? (Foto Danial Saad/bh) ?? Kuari bijih besi berdekatan Pusat Rekreasi Tupah.
(Foto Danial Saad/bh) Kuari bijih besi berdekatan Pusat Rekreasi Tupah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia