Berita Harian

MAKAN ANGIN BERKUALITI BERSAMA WARGA EMAS

BERCUTI bersama ibu bapa bukan saja mencipta kenangan dan memori terindah, malah mengeratka­n lagi hubungan kekeluarga­an.

-

Namun, terdapat beberapa perkara yang perlu dititikber­atkan apabila melancong bersama ibu bapa bagi mengelakka­n sebarang masalah yang tidak diingini dan menjadikan perjalanan percutian lebih lancar.

1. Faktor kesihatan

Status kesihatan, perubatan dan keupayaan fizikal ibu bapa adalah perkara penting yang perlu diambil kira ketika merancang percutian. Perlu tahu bilangan, jadual dan preskripsi ubat yang mereka ambil dan lebih baik jika boleh dapatkan nombor telefon doktor peribadi sekiranya ada.

Sekiranya mereka sukar bergerak dan memerlukan bantuan untuk berjalan, aturkan perjalanan yang sesuai dengan hotel dan syarikat penerbanga­n. Sebaiknya, berbincang dengan mereka jadual perjalanan supaya keselesaan berada di tahap maksimum terutama jika berkerusi roda. Tentukan lokasi yang ingin dituju bersama-sama dan pastikan lokasi dipilih bukan saja mempunyai kemudahan yang selesa, malah membuatkan mereka gembira dengan percutian itu.

2. Dapatkan insurans perjalanan

Walaupun kita cuba merancang yang terbaik, tapi malang tidak berbau dan melancong bersama warga emas mempunyai risiko tinggi. Dapatkan insurans perjalanan atau hubungi syarikat insurans sedia ada yang mereka miliki untuk mengetahui berkenaan insurans perjalanan.

Semak polisi syarikat insurans bagi memastikan mereka layak dilindungi kerana sesetengah syarikat insurans mempunyai had usia tertentu. Sesetengah syarikat insurans pula tidak menawarkan polisi kepada orang yang sudah mempunyai penyakit berisiko. Jadi, penting untuk anda gariskan beberapa perkara seperti status kesihatan, usia dan polisi insurans perjalanan sebelum mendapatka­nnya.

3. Bertolak awal dan kerap berhenti

Kebanyakan warga emas cenderung bangun awal pagi dan tidur lebih awal. Rancang perjalanan sesuai waktu berjaga dan tidur mereka dengan menempah tiket kapal terbang, bas, kereta api awal pagi. Sekiranya bergerak menggunaka­n kereta, rancang untuk keluar awal supaya sampai di lokasi yang ingin dituju lebih awal dan anda mempunyai masa untuk makan, berehat dan tidur lebih awal di penghujung hari.

Apabila bergerak menggunaka­n kenderaan darat seperti kereta, kerap berhenti satu atau dua jam sekali supaya warga emas dapat merenggang­kan badan, menggunaka­n tandas selain makan atau minum. Pastikan kenderaan yang anda bawa berada dalam keadaan selamat, terbaik dan paling penting pastikan minyak penuh. Sekiranya anda menaiki bas dan melalui perjalanan panjang, pastikan anda memaklumka­n pemandu bas untuk berhenti jika perlu sekiranya bas tidak berhenti selepas tiga jam perjalanan.

4. Terapkan sikap positif

Percutian seharusnya menjadi santai dan menyeronok­kan. Sentiasa beringat untuk bersopan, hormat dan berbuat baik kepada warga emas dalam apa jua keadaan sekali pun. Walaupun mereka perlahan dan memerlukan masa untuk bergerak dan melakukan aktiviti, ambil perkara itu sebagai satu yang positif. Mungkin ini masa yang baik untuk anda menikmati percutian yang berkualiti dan bukannya kuantiti.

Walaupun warga emas memerlukan bantuan dan sokongan, namun mereka tidak mahu dikongkong. Jangan mendesak dan berkeras sekiranya mereka ingin melakukan perkara mudah sendiri seperti mengangkat beg kecil dan ringan. Kita mungkin mewujudkan rasa rimas atau membuatkan mereka terasa hati secara tidak sengaja kerana ada beberapa perkara yang mereka mampu lakukan sendiri. Mereka pasti meminta bantuan sekiranya benar-benar perlukan pertolonga­n.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia