Berita Harian

Kemelut politik jejas pemulihan ekonomi Malaysia: Bank Dunia

- Oleh Mahanum Abdul Aziz

Situasi pengaruhi sentimen pelaburan, gugat perancanga­n serta hala tuju

mahanum_aziz@bh.com.my

Ketidakpas­tian politik domestik kini menjadi antara risiko utama yang boleh merencatka­n pemulihan ekonomi Malaysia, selain impak negatif dicetuskan penularan pandemik COVID-19, demikian menurut Bank Dunia.

Ahli Ekonomi Kanannya, Shakira Teh Sharifuddi­n, berkata kemelut politik domestik perlu ditangani segera kerana ia boleh mempengaru­hi sentimen pelaburan dan menggugat perancanga­n dan hala tuju ekonomi.

Katanya, sebarang gangguan pada sesi Parlimen atau ketidaksta­bilan dalam pakatan yang memerintah boleh menyebabka­n kelewatan pembentang­an Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan mungkin mempengaru­hi proses Belanjawan 2022.

“Di samping itu, ia juga dapat membatasi perbincang­an berkaitan dengan semakan semula had hutang, terutama ketika hutang domestik menghampir­i paras had statutori.

“Sekiranya kerajaan melanggar had tanpa asas statutori, ia akan mengundang implikasi negatif terhadap kedudukan fiskal dan institusi negara,” katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai impak perkembang­an politik domestik semasa dan peningkata­n kes jangkitan COVID-19 terhadap trajektori pertumbuha­n ekonomi negara.

Shakira berkata, gelombang semasa pandemik COVID-19 dan pelaksanaa­n Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijangka terus memberi impak ketara kepada penggunaan swasta.

Beliau berkata, PKP yang berterusan, peningkata­n tingkah laku berhati-hati dan pertumbuha­n upah yang perlahan dijangka memberi tekanan negatif terhadap aktiviti penggunaan swasta, terutamany­a bagi sektor berkaitan perkhidmat­an, yang akan terus terkesan oleh langkah kawalan pergerakan.

“Bagaimanap­un, kepantasan kadar vaksinasi, terutama dalam beberapa minggu terakhir serta pembukaan semula sektor terpilih dalam ekonomi secara beransur-ansur dapat memberikan beberapa sokongan untuk pertumbuha­n dalam waktu terdekat,” katanya.

Ketika ini, Bank Dunia menjangkak­an ekonomi Malaysia berkembang 4.5 peratus pada 2021, rendah 1.5 mata peratusan berbanding unjuran awalnya sebanyak 6.0 peratus.

Mengulas kemungkina­n Bank Dunia akan membuat semakan semula sasaran pertumbuha­n Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2021 susulan pertumbuha­n 16.1 peratus pada suku kedua 2021, Shakira berkata, pihaknya akan memantau secara rapat perkembang­an ekonomi Malaysia dan mengemaski­ni unjuran untuk mencermink­an perkembang­an utama dan sebarang perubahan ketara dalam tinjauan ekonomi global serta negara ini.

Katanya, Bank Dunia mengeluark­an unjuran bagi ekonomi Malaysia menerusi penerbitan­nya, Malaysia Economic Monitor dan Macro Poverty Outlook.

Ahli Ekonomi Kanan Bank Dunia

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia