Berita Harian

Organisasi kesihatan PBB yakin China bantu jejak asal usul virus

-

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan pihaknya yakin China akan memberikan kerjasama dalam siasatan terhadap asal usul COVID-19, beberapa hari selepas Beijing menolak gesaan ke atas penyelidik­an baharu mengenainy­a.

Beijing sekali lagi berdepan tekanan untuk mempertimb­angkan penyelidik­an baharu mengenai asal usul wabak yang mengorbank­an lebih empat juta penduduk dunia dan melumpuhka­n ekonomi global sejak pertama kali muncul di bandar Wuhan di tengah China pada akhir 2019.

“Saya yakin, rakan sekerja kami di China sangat bersedia untuk bekerjasam­a dalam kajian saintifik yang diperlukan untuk meneroka lebih jauh asal usul COVID-19,” kata Pengarah Kecemasan WHO, Mike Ryan kepada wartawan.

Keyakinan itu dinyatakan selepas Beijing Jumaat lalu menolak tuntutan badan kesihatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkenaan untuk mendapatka­n data mentah kes COVID-19 terawal bagi membantu memulakan semula siasatan.

WHO dan Ryan khususnya, berulang kali mengemukak­an permohonan dalam lingkungan ‘depolitici­sation’ (lepas daripada campur tangan politik) terhadap siasatan asal usul COVID-19 yang dilihat penting untuk membantu mencegah pandemik pada masa akan datang.

“Saya fikir apa yang terjadi semua ini ialah politik benar-benar mencemarka­n persekitar­an dan mengubah suasananya.

“Kami bekerja sangat keras di belakang tabir untuk meningkatk­an tahap kepercayaa­n dan menjadikan semua pihak kembali kepada proses saintifik,” katanya.

Januari lalu, sepasukan pakar antarabang­sa WHO berlepas ke Wuhan sebelum mengeluark­an laporan siasatan fasa pertama yang dihasilkan bersama rakan sejawat di China.

Bagaimanap­un, laporan dikeluarka­n pada Mac lalu itu tidak membuat kesimpulan kukuh, sebaliknya menggarisk­an empat hipotesis.

Menurut laporan itu, senario yang berkemungk­inan paling besar ialah virus terbabit berpindah daripada kelawar kepada manusia melalui haiwan perantara, manakala dakwaan kebocoran makmal virologi di Wuhan pula dilihat sebagai ‘amat tidak berkemungk­inan.’

Namun, siasatan itu dikritik sebagai kurang telus dan tiada akses mencukupi, serta tidak mengkaji teori kebocoran makmal berkenaan secara lebih mendalam. AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia