Berita Harian

Keberkesan­an vaksin didakwa makin lemah

-

London: Kajian kesihatan awam Britain mendapati perlindung­an vaksin COVID-19 yang biasa digunakan terhadap varian Delta didakwa menjadi semakin lemah dalam tempoh tiga bulan.

Kajian juga mendapati mereka yang dijangkiti selepas menerima dua dos suntikan vaksin Pfizerbion­tech atau Astrazenec­a dikatakan mungkin berisiko lebih tinggi untuk menjangkit­i orang lain berbanding varian sebelumnya.

Berdasarka­n lebih tiga juta calitan hidung dan tekak yang diambil di seluruh Britain, Universiti Oxford mendapati keberkesan­an dalam mencegah jangkitan merosot masing-masing menjadi 75 peratus dan 61 peratus selepas 90 hari suntikan kedua vaksin Pfizer atau Astrazenec­a.

Keberkesan­an itu dikatakan menurun masing-masing daripada 85 peratus dan 68 peratus yang dilihat selepas dua minggu suntikan dos kedua.

Kemerosota­n keberkesan­an lebih ketara kepada mereka yang berusia 35 tahun ke atas.

“Kedua-dua vaksin ini pada tahap dua dos masih berfungsi dengan baik terhadap Delta,” kata Profesor Statistik Perubatan Oxford yang juga ketua penyelidik kajian itu, Sarah Walker.

Walker tidak terbabit dalam kerja berkaitan penghasila­n vaksin Astrazenec­a, yang dikembangk­an pakar imunologi di Oxford.

Penyelidik tidak dapat menentukan tahap keberkesan­an vaksin itu menurun selari dengan tempoh masa.

Kajian itu menunjukka­n mereka yang dijangkiti, walaupun sudah menerima vaksin lengkap, cenderung mempunyai viral load (kuantiti virus) sama dengan individu dijangkiti dan tidak mempunyai sejarah vaksinasi, yang menunjukka­n kemerosota­n jelas berbanding ketika varian Alpha masih dominan di Britain.

Dapatan Oxford sejajar dengan analisis oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS).

Ketika ini, Kerajaan AS menggarisk­an rancangan untuk menjalanka­n suntikan penggalak vaksin COVID-19 secara meluas bulan depan di tengah-tengah peningkata­n jangkitan varian Delta.

Pfizer sementara itu berkata, keberkesan­an vaksinnya menurun dari semasa ke semasa.

Bulan lalu, Astrazenec­a menyatakan ia masih meneliti berapa lama tempoh perlindung­an vaksinnya dan adakah dos penggalak diperlukan untuk meningkatk­an imuniti. AGENSI

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia