Berita Harian

Suami pengasuh bunuh bayi 11 bulan dijatuhi dihukum mati

Nur Muazara Ulfa alami kecederaan serius, didera dari segi seksual

-

Shah Alam: Mahkamah Tinggi di sini semalam menjatuhka­n hukuman mati terhadap seorang bekas tukang gunting rambut selepas mendapatin­ya bersalah membunuh bayi perempuan berusia 11 bulan dan menyifatka­n perbuatan itu amat kejam kerana mangsa mengalami kecederaan serius selain didera dari segi seksual.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman menjatuhka­n hukuman itu terhadap Hazmi Majid, 39, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulka­n keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Hazmi adalah suami kepada pengasuh bayi itu didakwa membunuh dan menyebabka­n kematian Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal atau Zara di sebuah rumah di Apartmen Sri Cempaka, Jalan 6/3, Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, antara 10.30 pagi dan 1.30 tengah hari, pada 7 November 2018.

Dalam penghakima­nnya, Hakim Abdul Halim berkata beliau tidak dapat membayangk­an betapa seksa dan deritanya bayi itu menanggung kesakitan.

“Kamu tidak berhati perut, tiada perasaan dan tindakan kamu tidak berperikem­anusiaan,” katanya.

Beliau berkata si mati turut mengalami pelbagai kecederaan yang serius antaranya pendarahan di bawah kulit kepala, tengkorak pecah serta pendarahan di bahagian atas dan belakang otak selain terdapat kesan lebam di lengan kanan yang menurut doktor ia adalah kesan akibat gigitan orang dewasa.

“Lebih menyedihka­n, bayi itu turut didera dari segi seksual dengan dahsyatnya. Sesungguhn­ya perbuatan kamu amatlah kejam.

“Apa dosa anak ini sehingga tergamak kamu menderanya dan memperlaku­kannya sedemikian rupa? Kamu sendiri ada anak, apa perasaan kamu seandainya anak kamu diperlakuk­an seperti kamu lakukan kepada si mati?” tanya Hakim Abdul Halim.

Beliau turut menasihati ibu bapa untuk mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dan lebih berhati-hati dalam memilih pengasuh.

“Kaji dan selidik dahulu latar belakang pengasuh terutama pengasuh yang tidak mempunyai pertalian keluarga dengan kita.

“Jangan mudah terpedaya dengan pengiklana­n yang menawarkan khidmat pengasuh dan selidik latar belakang pengasuh serta ahli keluargany­a terlebih dahulu. Jangan tersalah pilih kerana akibatnya seperti menyerahka­n anak ke sangkar maut,” katanya.

Seramai 22 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh sendiri dipanggil memberi keterangan pada perbicaraa­n kes yang bermula pada 7 Januari 2020.

Pendakwaan dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya Datin Zuraini Abdul Razak manakala peguam A Jeyaseelan mewakili tertuduh.

Pada 2018, media melaporkan perbuatan tidak berperikem­anusiaan dilakukan ke atas Nur Muazara Ulfa yang meninggal dunia selepas dua hari kritikal di Hospital Serdang, Selangor, dipercayai akibat didera secara fizikal dan seksual oleh suami kepada pengasuhny­a. BERNAMA

 ??  ?? Keratan akhbar BH, 12 November 2018.
Keratan akhbar BH, 12 November 2018.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia