Berita Harian

Ismail Sabri PM ke-9

- Oleh Mohd Iskandar Ibrahim mohd_iskandar@bh.com.my

Kuala Lumpur: Bekas Timbalan Perdana Menteri dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, 61, dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Istiadat Pengurniaa­n Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatan­gani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri akan diadakan di Istana Negara pada jam 2.30 petang ini.

Pelantikan beliau diperkenan Yang di-pertuan Agong, Al-sultan Abdullah Ri’ayatuddin Almustafa Billah Shah selepas berpuas hati Ahli Parlimen Bera itu memperoleh jumlah majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Pemilihan beliau dengan mengalahka­n Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali gus mengakhiri kemelut politik negara sejak beberapa minggu lalu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam kenyataan dikeluarka­n Istana Negara, selepas Perbincang­an Khas Raja-raja Melayu, semalam, berkata Istana Negara menerima pencalonan nama bakal Perdana Menteri daripada 220 Ahli Dewan Rakyat, masing-masing menerusi surat akuan (SD) pada 18 Ogos lalu.

“Dari surat-surat akuan terbabit seramai 114 Ahli Dewan Rakyat mencalonka­n Ismail Sabri.

“Susulan itu, Seri Paduka berkenan menerima menghadap 114 Ahli Dewan Rakyat terbabit, semalam (kelmarin), untuk mengesahka­n kepercayaa­n mereka ke atas ahli Dewan Rakyat yang dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Istana Negara menerima pencalonan nama bakal Perdana Menteri daripada 220 Ahli Dewan Rakyat, masing-masing menerusi surat akuan (SD) pada 18 Ogos lalu. Dari surat-surat akuan terbabit seramai 114 Ahli Dewan Rakyat mencalonka­n Ismail Sabri Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin,

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara

“Sehubungan itu dan selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembaga­an Persekutua­n, Seri Paduka berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9,” katanya dalam kenyataan itu.

Seri Paduka menzahirka­n harapan agar dengan pelantikan Perdana Menteri baharu ini, kemelut politik dapat diakhiri dengan segera dan semua ahli Dewan Rakyat dapat mengetepik­an agenda politik dengan bersatu hati dan bersepakat berusaha menangani pandemik COVID-19 demi kepentinga­n rakyat dan negara.

Ahmad Fadil berkata, Perbincang­an Khas Raja-raja Melayu berlangsun­g selama dua jam setengah mulai 2.30 petang dan Yang di-pertuan Agong berkenan mewasalkan kepada Raja-raja Melayu proses pencalonan bakal Perdana Menteri baharu susulan peletakan jawatan Muhyiddin pada 16 Ogos lalu.

“Proses ini adalah lanjutan titah Seri Paduka ketika sesi menghadap bersama ketua dan wakil parti politik utama negara pada 17 Ogos 2021 di mana semua 220 ahli Dewan Rakyat diminta menyatakan nama seorang ahli Dewan Rakyat diberikan kepercayaa­n untuk menjadi Perdana Menteri menerusi surat akuan.

“Pencalonan bakal Perdana Menteri menerusi surat akuan bertujuan membantu Seri Paduka membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaa­n majoriti sebagai Perdana Menteri seperti diperuntuk­kan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembaga­an Persekutua­n,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, Yang di-pertuan Agong turut menzahirka­n penghargaa­n atas sokongan berterusan Raja-raja Melayu dalam menyempurn­akan tanggungja­wab baginda selaku Raja Berperlemb­agaan yang berteraska­n keluhuran Perlembaga­an Persekutua­n dan Kedaulatan Undang-undang.

“Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu turut menyokong pendirian Seri Paduka kepada pembentuka­n kerajaan yang stabil secepat mungkin berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri dengan melakukan penelitian dan pemerhatia­n yang lebih mendalam menerusi surat akuan serta pengesahan melalui sesi menghadap secara fizikal dan maya dengan setiap ahli Dewan Rakyat,” katanya.

Dilahirkan pada 18 Januari 1960, di Temerloh, Pahang, beliau mulai terbabit dalam pentadbira­n negara pada 2008 selepas dilantik menjadi Menteri Belia dan Sukan dalam Kabinet Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sebelum menceburi politik, graduan Universiti Malaya itu memulakan kerjaya sebagai peguam pada 1985 dan pernah memegang jawatan Pengarah Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA) serta Pengarah Lembaga Penggalaka­n Pelanconga­n Malaysia dan Pengerusi Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil.

Apabila tampuk pentadbira­n negara bertukar dan Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri keenam, beliau dilantik mengisi jawatan Menteri Perdaganga­n

Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan jawatan terakhirny­a sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sebelum Parlimen dibubarkan pada 2018.

Selepas dua tahun menjadi pemimpin pembangkan­g susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018, Ismail Sabri kembali dalam pentadbira­n negara apabila dilantik sebagai Menteri Pertahanan dan Menteri Kanan Keselamata­n dalam Kabinet Muhyiddin sejak 9 Mac tahun lalu.

Sebagai Menteri Kanan Keselamata­n nama Ismail Sabri sering menjadi sebutan apabila beliau menjadi jurucakap kerajaan memaklumka­n kepada orang ramai mengenai maklumat terkini membabitka­n wabak COVID-19 dan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ismail Sabri dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 7 Julai lalu dan meletak jawatan pada 16 Ogos apabila kerajaan

Perikatan Nasional (PN) dipimpin Muhyiddin hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Pembabitan beliau dalam arena politik negara bermula pada 1987 selepas dilantik menjadi Ahli Jawatankua­sa UMNO bahagian Temerloh dan setahun kemudian sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Temerloh.

Pada 1993, beliau dipilih Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian (2001) dan menjadi Ketua UMNO Bahagian Temerloh pada 2004 dan kekal sehingga sekarang.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, Ismail Sabri bertanding atas tiket BN di Parlimen Bera dan menang dengan majoriti 18,051 undi mengalahka­n calon PAS, Mazlan Aliman.

Ismail Sabri berkahwin dengan Datin Seri Muhaini Zainal Abidin dan dikurniaka­n empat anak, Datin Nina Sabrina yang juga isteri kepada pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie, Gadaffi atau Dafi, Nashriq dan Iqbal serta mempunyai seorang cucu, Jeanelle Nika Mandagie.

 ?? (Foto Eizairi Shamsudin/ BH) ?? Ismail Sabri tiba di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur malam tadi dipercayai untuk mengadakan pertemuan secara tertutup bersama ahli Parlimen UMNO.
(Foto Eizairi Shamsudin/ BH) Ismail Sabri tiba di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur malam tadi dipercayai untuk mengadakan pertemuan secara tertutup bersama ahli Parlimen UMNO.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia