Berita Harian

Ismail Sabri angkat sumpah PM kesembilan

Ucap terima kasih atas perkenan Seri Paduka, sokongan rakan ahli Parlimen

- Oleh Muhammad Yusri Muzamir dan Fahmy Azril Rosli bhnews@bh.com.my

Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-pertuan Agong, Al-sultan Abdullah

Ri’ayatuddin Al-mustafa Billah Shah, pada istiadat di Istana Negara, petang semalam.

Istiadat Pengurniaa­n Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu, berlangsun­g di Balai Singgahsan­a Kecil, Istana Negara pada jam 2.30 petang.

Ismail Sabri kemudian menandatan­gani dokumen berkaitan sambil disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebelum istiadat diakhiri bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutua­n, Datuk Dr Luqman Abdullah.

Yang turut berangkat pada istiadat itu, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandaria­h.

Antara pemimpin parti politik yang hadir termasuk bekas Perdana Menteri merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Selain itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat

Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO itu memakai baju Melayu berwarna hitam lengkap bersamping hitam bersulam benang warna keemasan, diiringi isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin ke istiadat berkenaan.

Al-sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembaga­an Persekutua­n.

Pelantikan Perdana Menteri yang baharu dibuat susulan peletakan jawatan Muhyiddin selepas Ahli Parlimen Pagoh berkenaan hilang majoriti sokongan ahli Parlimen, manakala cadangan kerjasama bipartisan olehnya tidak mendapat sokongan parti politik.

Pada 18 Ogos lalu, Istana Negara menerima pencalonan nama bakal Perdana Menteri daripada 220 ahli Parlimen, masing-masing menerusi surat akuan (SD).

Mengikut SD berkenaan seramai 114 ahli Dewan Rakyat mencalonka­n Ismail Sabri, sekali gus memperoleh jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Susulan itu, Seri Paduka berkenan menerima menghadap 114 ahli Parlimen berkenaan untuk mengesahka­n kepercayaa­n mereka ke atas ahli Dewan Rakyat yang dicalonkan sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Sementara itu, ketika menemui media yang menunggu di luar pekarangan kediamanny­a di Petaling Jaya sejurus kembali dari Istana Negara, Ismail Sabri berterima kasih kepada semua pemimpin parti politik termasuk blok Bebas, yang memilihnya sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Beliau turut mengucapka­n kesyukuran atas perkenan Yang di-pertuan Agong, melantikny­a ke jawatan berkenaan.

“Saya bersyukur kepada Allah dan atas izin-nya, saya dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Ucapan terima kasih juga saya kepada rakan ahli Parlimen, termasuk Bebas dan ketua parti politik,” katanya secara ringkas.

Ismail Sabri turut merakamkan penghargaa­n kepada kepemimpin­an UMNO dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu atas kepercayaa­n diberikan kepadanya.

Beliau dijangka membuat kenyataan rasmi susulan pelantikan sebagai Perdana Menteri, khusus kepada seluruh rakyat hari ini.

 ??  ?? Watikah Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri.
Watikah Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri.
 ?? (Foto BERNAMA) ?? Ismail Sabri menandatan­gani Surat Cara Pelantikan sebagai Perdana Menteri kesembilan pada Istiadat Pengurniaa­n Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri yang berlangsun­g di Balai Singgahsan­a Kecil, Istana Negara, semalam.
(Foto BERNAMA) Ismail Sabri menandatan­gani Surat Cara Pelantikan sebagai Perdana Menteri kesembilan pada Istiadat Pengurniaa­n Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri yang berlangsun­g di Balai Singgahsan­a Kecil, Istana Negara, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia