Berita Harian

PM digesa pulih segera krisis kesihatan, ekonomi

-

Orang ramai juga meminta semua pihak menghentik­an permainan politik, bersatu dan bersama memerangi COVID-19 serta segala bentuk tindakan yang boleh menjejaska­n usaha pemulihan negara.

Pemandu teksi di Kota Bharu, Mat Yusoff Daud, 72, berharap kerajaan Ismail Sabri dapat meredakan kebimbanga­n rakyat dan kembali memulihkan ekonomi negara dengan pendekatan agresif mengawal wabak itu.

“Sebagai rakyat, kami mahu kerajaan mengambil kira kesejahter­aan rakyat sebagai keutamaan, bukan lagi soal politik.

“Sebagai pemandu teksi yang amat terkesan, saya merayu Perdana Menteri membantu golongan seperti kami untuk meneruskan kehidupan,” katanya ditemui di Stesen Bas Kota Bharu, semalam.

Abdullah Hamzah, 42, yang mengusahak­an restoran di Kota Bharu, berharap Ismail Sabri memperkena­lkan pelbagai pakej bantuan demi kelangsung­an hidup rakyat pada waktu amat getir ini.

“Semoga Ismail Sabri diberi kekuatan dan kesabaran agar beliau dapat menangani isu COVID-19 dengan segera dan menyegerak­an program vaksinasi kepada mereka yang masih belum mendapat suntikan agar dapat melindungi diri daripada wabak,” katanya.

Isu ekonomi, penganggur­an dan COVID-19 turut menjadi keresahan Eksekutif Pemasaran dari Kuala Lumpur, Ooi Theng Hooi, 32, yang berharap kerajaan baharu mencari penyelesai­an segera.

Beliau mahu isu berkaitan COVID-19 diselesaik­an segera kerana memberi kesan berantai terhadap kehidupan rakyat sehingga menjejaska­n sumber pendapatan dan kehilangan pekerjaan.

“Bantulah rakyat dengan segera kerana banyak orang sudah tak ada kerja, hilang pendapatan untuk sara hidup. Ramai golongan M40 kini sudah jadi B40. Ramai orang hidup susah dan perlukan bantuan,” katanya.

Usahawan muda, Mohd Hasrul Izwan, 34, berharap kerajaan memperkena­l atau menawarkan lebih banyak bantuan untuk membantu peniaga sepertinya menerusi pemberian dana dan geran.

“Rakyat sedia berkorban dan sudah terkorban. Harap mulai sekarang, Perdana Menteri baharu fokus nasib rakyat seperti kami,” katanya.

Peniaga yang turut terkesan akibat COVID-19, Ameliza Abu Yazid, 47, meminta kerajaan segera membantu pihak terjejas sepertinya untuk memulihkan kembali perniagaan supaya dapat bertahan.

Berniaga selama 12 tahun, usahawan wanita itu berharap program vaksinasi diperhebat­kan supaya imuniti kelompok tercapai bagi membolehka­n sektor ekonomi dibuka segera.

Norlia Mili, kakitangan awam di Sarawak, berkata: “Rakyat kini semakin tertekan dan besarlah harapan saya kepada kerajaan baharu segera fokus isu kesejahter­aan dan kelangsung­an hidup rakyat.”

Kakitangan swasta di Kuching, Kennedy Lapok, 35, pula berharap kerajaan fokus kepada pemulihan ekonomi secara total untuk membantu rakyat yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan.

“Ramai rakyat terkesan sejak tahun lalu, paling menyedihka­n ramai yang bekerja gaji hari serta peniaga kecil hilang punca pendapatan,” katanya.

Sri Juwita Judding yang mengusahak­an perniagaan dalam talian di Johor, berkata banyak peniaga yang sudah ada nama mahupun kecil-kecilan hampir kehilangan semua pendapatan dan ada yang terpaksa gulung tikar.

“Kerajaan baharu kena bertindak pantas dalam mengatasi masalah ekonomi dan kesihatan rakyat,” katanya.

Pekerja swasta dari Batu Pahat, Mohammad Farid Misrom pula berharap semua parti politik bersatu dan bersama memerangi COVID-19 serta menghentik­an segala bentuk tindakan yang boleh menjejaska­n usaha pemulihan negara.

“Wabak COVID-19 ini tidak mengenal kita daripada mana-mana pihak walau parti politik sekalipun kerana ini adalah satu peperangan bersama rakyat,” katanya.

Mewakili sektor PKS yang amat terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Naib Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia, Chin Chee Seong, mahu pentadbira­n baharu mengekalka­n bekas menteri yang mempunyai pengalaman dalam menguruska­n hal berkaitan krisis COVID-19 dan Program Pemulihan Negara (PPN) supaya ada kesinambun­gan.

“Kita berharap Perdana Menteri dan Jemaah Menterinya nanti meneruskan fungsi Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dianggotai pelbagai pakar dan penggiat industri untuk memulihkan kembali ekonomi,” katanya.

Chee Seong mahu kerajaan memulihkan kembali keyakinan rakyat serta penggiat industri di dalam dan dari luar negara.

“Ini penting kerana apabila membabitka­n pelabur antarabang­sa, aspek keyakinan boleh mencetuska­n sentimen tidak baik terhadap kerajaan dan negara. Terlalu banyak berita negatif termasuk yang memaparkan situasi jangkitan COVID-19 tinggi. Ini tidak baik untuk ekonomi dan sektor perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPKMM), Mohamed Zamri Mohammed berharap Jemaah Menteri baharu mendengar keluh kesah rakyat yang teruk tertekan kerana pendapatan terjejas ekoran pandemik COVID-19.

Beliau menyaranka­n mereka dilantik mengisi jawatan menteri sentiasa turun padang untuk melihat penderitaa­n rakyat dan realiti sektor ekonomi, terutama yang membabitka­n peniaga dan penjaja kecil.

“Diharapkan, kerajaan baharu memperkena­lkan lebih banyak inisiatif membantu peniaga dan penjaja kecil yang teruk terjejas, termasuk modal pemulihan, mengecuali­kan bayaran lesen untuk penjaja, lanjutan moratorium atau diskaun sewaan premis milik kerajaan,” katanya.

 ??  ?? Ooi Theng Hooi
Ooi Theng Hooi

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia