Berita Harian

Manfaatkan segala kepakaran tangani isu ekonomi, wabak

- Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud

Soalan (S): Apakah perlu kerajaan baharu kekalkan dalam pelaksanaa­n membendung COVID-19 oleh kerajaan sebelum ini?

Jawapan (J): Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) perlu dikekalkan hingga sasaran awal tercapai, iaitu 80 peratus penduduk mendapat vaksin. Tiada pilihan hal ini.

Ini hanya sasaran awal. Saya jangka ada kemungkina­n lambat-laun kita perlu memvaksink­an semua penduduk, bukan hanya 80 peratus.

S: Apakah perubahan strategi perlu dilaksanak­an Perdana Menteri baharu dalam memastikan usaha mengawal dan menurunkan penularan COVID-19 berjaya?

J: Sudah jelas strategi pengurusan pandemik COVID-19 sekarang belum lagi menampakka­n kesan nyata. Kegagalan pengurusan pandemik timbul daripada keengganan pihak berwajib untuk melaksanak­an pendekatan lebih menyeluruh membabitka­n semua pihak.

Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu, pihak berwajib gagal melaksanak­an penambahba­ikan dalam pengurusan pandemik.

Saya menyeru beberapa kali dari awal pandemik tahun lalu untuk negara memberi perhatian pada pekerja asing dan penguatkua­saan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) yang dipinda.

Selain itu, menyediaka­n sistem survelan sindromik sebagai sistem amaran awal, penggunaan dan analisis data raya, penggunaan indikator lebih baik, pembabitan pakar epidemiolo­gi dan tingkah laku daripada luar Kementeria­n Kesihatan (KKM).

Juga penyediaan pelan pandemik lebih baik, perkongsia­n data dengan pakar universiti dan tiada dua darjat dalam penguatkua­saan undangunda­ng serta peraturan.

Namun, kebanyakan saranan saya tidak diendahkan hingga sudah terlambat. Ketiadaan hala tuju jelas dalam pengurusan pandemik dan kelekaan ini mendatangk­an padah. Pendekatan baharu mesti membabitka­n semua sektor kerajaan dan bukan kerajaan.

Hanya baru-baru ini nampak usaha untuk membabitka­n sektor luar dalam Greater Klang Valley Special Task Force

(GKV STF).

S: Dengan imuniti kelompok disasar dicapai Oktober ini, lebih 80 juta dos vaksin dibawa masuk, sejauh mana kes harian akan menurun?

J: Imuniti kelompok ini sebenarnya suatu konsep kurang difahami masyarakat. Ia bukan terletak kepada bilangan orang divaksin atau bilangan vaksin dibeli. Imuniti kelompok terjadi apabila terdapat penguranga­n penularan penyakit dan perlu dibuktikan melalui kajian dan data.

Terdapat dua jenis perlindung­an dihasilkan vaksin, iaitu perlindung­an langsung dan perlindung­an penularan.

Perlindung­an langsung dibuktikan dalam ujian klinikal, tetapi perlindung­an penularan agak sukar dibuktikan, sebaliknya bergantung kebolehjan­gkitan varian sedia ada.

Bagi varian Delta, kajian luar negara jelas menunjukka­n perlindung­an langsung masih tinggi untuk vaksin sedia ada, tetapi perlindung­an penularan mungkin berkuranga­n dengan varian Delta.

Perlindung­an langsung melindungi seseorang daripada penyakit teruk, tetapi bilangan kes mungkin tetap tinggi disebabkan penularan masih tinggi. Jadi dalam keadaan sekarang, agak sukar untuk membuat jangkaan bilakah bilangan kes akan berkuranga­n.

Namun, jika peratusan kes teruk (kategori 4 dan 5) berkuranga­n, ia petanda vaksin berjaya mengurangk­an beban kepada sistem kesihatan kita. Bagi memastikan kita dapat keluar daripada pandemik, kita perlu memvaksin seberapa ramai penduduk yang boleh, termasuk kanak-kanak.

Kita juga perlu memberi vaksin kepada semua penduduk dewasa tidak kira warga negara atau tidak. Malaysia mempunyai bilangan warga asing, termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) cukup ramai. Adalah mustahil untuk kita keluar tanpa memberi vaksin kepada warga asing termasuk PATI.

S: Antara isu dibangkitk­an kerajaan negeri ialah tidak dapat data sepenuhnya daripada persekutua­n atau KKM, hingga menjejaska­n langkah diambil kerajaan negeri, Sejauh mana perkongsia­n maklumat sebegini penting?

J: Selama ini, hanya KKM sahaja ada data terperinci atau granular data mengenai pesakit dan kontak COVID-19. Namun, saya tidak nampak analisis betul-betul canggih dan boleh digunakan untuk pengurusan pandemik.

Apa gunanya data sekiranya tidak digunakan dengan betul? Analisis data baik amat diperlukan untuk mengenal pasti golongan dan lokaliti berisiko mencetuska­n kluster, yang perlu diberi perhatian supaya langkah pencegahan boleh cepat dilakukan dan memastikan rawatan optimum untuk pesakit.

Kelewatan langkah pembendung­an akan menyebabka­n kluster menjadi terlalu besar untuk dibendung. Data juga boleh membantu kerajaan negeri memastikan aktiviti ekonomi boleh dibenarkan tanpa menjejaska­n kesihatan masyarakat.

Semua ini tidak dilakukan disebabkan keengganan KKM berkongsi data dengan pakar di luar KKM.

S: Ada tanggapan tindakan diambil KKM kurang membabitka­n pakar dalam bidang penyakit berjangkit pada peringkat keputusan akhir. Apa pandangan Prof?

J: Memang ada kebenaran dalam tanggapan ini. Terdapat ramai pakar di luar KKM, tetapi kami tidak diberi akses kepada data dan tidak dibabitkan dalam pengurusan wabak walaupun tujuan kami adalah untuk membantu negara.

Hanya baru-baru ini nampak langkah untuk membabitka­n pakar luar dalam GKV STF. Ini amat lewat sekali dan banyak kesilapan sudah berlaku sebelum pembabitan pakar luar.

S: Pada pandangan Prof, berdasarka­n situasi penularan COVID-19, bilakah dijangka waktu sesuai untuk Malaysia mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)?

J: Belum lagi masa sesuai untuk mengadakan PRU-15. Ini bergantung kejayaan pengawalan wabak dan saya masih belum nampak kejayaan menyeluruh dalam hal ini.

S: Apakah harapan Prof kepada ahli politik dan kerajaan baharu yang bakal dibentuk, dalam konteks memastikan episod pandemik COVID-19 dapat berakhir secepat mungkin?

J: Saya amat berharap kerajaan baharu akan betul-betul menggunaka­n pendekatan saintifik dalam menangani semua hal, daripada ekonomi hingga kawalan wabak. Kerajaan harus menerima pandangan pakar luar tidak ada kepentinga­n peribadi dan menggunaka­n kepakaran ini untuk melakukan terbaik untuk rakyat.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia