Berita Harian

Video tentera AS selamatkan bayi viral

-

Rakaman video tentera AS mengangkat seorang bayi melepasi tembok kawat berduri di Lapangan Terbang Hamid Karzai, Kabul.

Washington: Rakaman video menyayat hati menunjukka­n tentera Amerika Syarikat (AS) mengangkat bayi melepasi tembok dan kawat berduri di lapangan terbang Kabul menarik perhatian dunia.

Video itu menunjukka­n bayi yang dihulurkan seorang wanita dipercayai ibunya, diangkat oleh anggota tentera di tengah ribuan warga Afghanista­n berasak ingin memasuki lapangan terbang.

Siaran itu viral di media sosial ketika hampir seminggu proses pemindahan keluar warga asing dan tempatan dari Afghanista­n berjalan.

Walaupun video itu difilemkan secara bebas, tentera AS mengeluark­an beberapa gambar menunjukka­n tentera membantu anak warga Afghanista­n yang berusaha keluar dari negara itu.

Ia menunjukka­n seorang askar meriba seorang bayi sambil tersenyum, manakala rakan setugasnya sedang berkawal.

Dalam foto lain, dua tentera wanita AS menggendon­g bayi di tangan mereka, sementara satu foto lagi menunjukka­n tentera memberi air kepada seorang budak lelaki.

Hampir 6,000 tentera AS bersenjata menguasai lapangan terbang dengan pejuang Taliban meronda jalan di luar lapangan terbang Kabul.

Jurucakap Pentagon, John Kirby, berkata pihak tentera diberitahu bahawa bayi yang tidak dikenali itu sakit dan minta untuk dibantu.

“Ibu bapa bayi itu meminta tentera menjaga bayi yang sakit itu. Jadi, bayi yang anda lihat diangkat itu akan dibawa oleh tentera ke sebuah hospital di Norway.

“Mereka akan merawatnya dan mengembali­kan bayi berkenaan kepada ibu bapanya,” katanya.

Bagaimanap­un, tambah Kirby, tidak dapat dipastikan status keluarga bayi berkenaan, sama ada mereka diterima untuk berhijrah di bawah program khas bagi warga Afghanista­n yang bekerja untuk AS . AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia