Berita Harian

Langkawi dibuka kepada pelancong 16 September

- suzalina@bh com.my Oleh Suzalina Halid

Kuala Lumpur: Jawatankua­sa Khas Pengurusan Pandemik semalam memutuskan membuka semula sektor pelanconga­n di beberapa destinasi di bawah program gelembung pelanconga­n (travel bubble).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mempengeru­sikan mesyuarat itu berkata, sebagai permulaan, Pulau Langkawi dipilih sebagai projek rintis.

“Pulau Langkawi telah dipilih sebagai projek rintis untuk dibuka kembali kepada pelancong tempatan bermula 16 September ini.

“Destinasi pelanconga­n yang lain akan dibenarkan beroperasi apabila kadar vaksinasi lokaliti itu mencapai 80 peratus,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarka­n semalam.

Bagaimanap­un, beliau berkata, projek rintis program gelembung pelanconga­n itu adalah berdasarka­n syarat-syarat yang akan ditetapkan kerajaan.

Dalam kenyataan sama, Perdana

Menteri juga mengumumka­n Melaka dan Negeri Sembilan masing-masing akan beralih ke Fasa Kedua dan Fasa Ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula esok.

Susulan keputusan itu, Melaka menyertai Pulau Pinang, Perak, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah dalam Fasa Kedua PPN, manakala Negeri Sembilan pula menyertai Perlis dan Sarawak dalam Fasa Ketiga PPN.

Setakat ini hanya Wilayah Persekutua­n Labuan berjaya mencapai Fasa Keempat PPN dengan hampir semua aktiviti sosial dan ekonomi dibenarkan.

Wilayah Persekutua­n Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Johor dan Kedah masih kekal di Fasa Pertama PPN.

“Alhamdulil­lah, hari ini (semalam) buat pertama kalinya selepas beberapa bulan, kadar purata kebolehjan­gkitan (R-naught) seluruh negara berada di bawah 1.0, dan saya yakin kita berada di landasan yang tepat ke arah pemulihan negara,” katanya.

Sabri berkata, berdasarka­n data dikeluarka­n Jawatankua­sa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), purata kadar vaksinasi di setiap negeri dijangka mencapai 80 peratus bagi populasi dewasa menjelang akhir September 2021.

“Saya percaya kadar vaksinasi 100 peratus akan dicapai pada akhir Oktober depan, sekali gus memberi perlindung­an kepada seluruh Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, rakyat dan seluruh Keluarga Malaysia perlu bersedia untuk hidup bersama COVID-19 sebagai endemik selepas Oktober apabila suntikan vaksin dijangka selesai sepenuhnya.

Katanya, Kementeria­n Kesihatan Malaysia (KKM) sudah diminta untuk membentang­kan strategi baharu pandemik dan endemik yang bersesuaia­n selain daripada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semata-mata.

“Saya menyambut baik saranan mengenai usaha untuk melakukan perubahan kepada tingkah laku (behavioura­l change) seperti yang diumumkan KKM pada 1 September 2021.

“Keluarga Malaysia perlu sedar, akhirnya kita terpaksa hidup bersama COVID-19 seperti yang berlaku di seluruh dunia,” katanya.

Pada 15 Ogos lalu, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan sedang meneliti pandangan dan maklum balas daripada pemegang taruh berhubung perancanga­n untuk menjadikan Pulau Langkawi sebagai projek perintis destinasi gelembung pelanconga­n.

Pada Februari lalu, kerajaan memberi kelonggara­n untuk membuka beberapa sektor pelanconga­n dan kebudayaan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP), namun kembali ditutup ekoran lonjakan kes pada awal Mei lalu.

Peserta industri pelanconga­n menganggar­kan sektor itu kerugian mencecah RM45 bilion susulan pandemik COVID-19 sejak Mac tahun lalu hingga pertengaha­n tahun ini dan boleh mencecah sehingga RM100 bilion menjelang akhir tahun ini.

Dalam pada itu, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad yakin negeri itu boleh beralih ke Fasa Dua PPN pada minggu ini, selepas dijangka menerima 1.9 juta dos vaksin COVID-19 dalam tempoh terdekat.

Katanya, penerimaan jumlah dos vaksin terbabit membolehka­n kadar vaksinasi di negeri itu melebihi 50 peratus menjelang hujung bulan ini.

Sementara itu, Presiden Nasional Parti Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai meminta semua pihak menerima cadangan untuk membuka Langkawi pada 16 September dengan berhati-hati.

Beliau berharap pihak berkuasa dapat menyusun SOP yang lebih efektif untuk memastikan keselamata­n penduduk dan pelancong di pulau itu.

“Walaupun 89 peratus penduduk Pulau Langkawi telah menerima vaksin, tetapi semua pihak masih perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah kes baharu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, Menteri Pelanconga­n, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri menyifatka­n gelembung pelanconga­n diumumkan sebagai berita gembira untuk penggiat industri dan pekerja industri itu yang terjejas teruk berikutan penutupan hotel dan restoran di pulau peranginan berkenaan.

“Dengan pengumuman ini Pelan Pemulihan Pelanconga­n yang telah digariskan oleh MOTAC akan dilaksanak­an segera,” katanya dalam kenyataan semalam.

 ?? (Foto hiasan) ?? Pulau Langkawi dibuka semula kepada pelancong tempatan bermula 16 September ini.
(Foto hiasan) Pulau Langkawi dibuka semula kepada pelancong tempatan bermula 16 September ini.
 ??  ?? Lau Hoe Chai
Lau Hoe Chai
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia