Berita Harian

Majikan sektor swasta ada kuasa wajibkan kakitangan suntik vaksin

- Oleh Ahmad Johari Mohd Ali ajohari@bh.com.my

Kuala Lumpur: Majikan sektor swasta mempunyai kuasa untuk mewajibkan semua kakitangan mereka mengambil vaksin COVID-19 bagi mencegah penularan wabak itu di premis masingmasi­ng.

Pensyarah Kanan Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi MARA (UITM), Muhammad Umar Abdul Razak, berkata mengikut Seksyen 15 dan 16 Akta Keselamata­n dan Kesihatan Pekerja 1994 (AKKP), majikan ada kuasa dalam membuat dasar keselamata­n dan kesihatan bagi memastikan keselamata­n di tempat kerja.

“Mewajibkan vaksinasi adalah antara kaedah untuk memastikan tempat kerja selamat daripada menjadi kluster penyebaran wabak kerana tempat kerja menyumbang kepada majoriti kes COVID-19 di negara ini.

“Justeru adalah munasabah jika majikan mengenakan syarat itu untuk membendung penyebaran wabak COVID-19 di tempat kerja dan seterusnya menjangkit­i komuniti,” katanya kepada BH, semalam.

Beliau diminta mengulas kekeliruan orang ramai mengenai langkah mewajibkan vaksinasi oleh sesetengah majikan terhadap pekerjanya.

Baru-baru ini, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengkritik majikan yang mengambil tindakan disiplin terhadap pekerja yang enggan mendapatka­n vaksin COVID-19.

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor, berkata oleh kerana kerajaan tidak menjadikan pengambila­n vaksin sebagai kewajipan, maka syarikat tidak boleh menjadikan ingkar mengambil vaksin sebagai alasan yang adil dan wajar untuk memberhent­ikan pekerja.

Kelmarin, Presiden Persatuan Keselamata­n dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Dr Shawaludin Husin pula berkata, majikan tidak mempunyai kuasa untuk memaksa kakitangan mengambil vaksin COVID-19.

Katanya, ada pihak memaksa pekerja kerana mahu mereka dilindungi daripada jangkitan COVID-19 dan persekitar­an selamat di tempat kerja, namun itu mungkin diskrimina­si dalam sektor kerajaan.

Mengulas lanjut, Muhammad Umar berkata, bagaimanap­un majikan perlu mengambil kira hak pekerja yang tidak boleh divaksin atas sebab kesihatan.

“Majikan juga boleh meminta pekerja menandatan­gani kontrak pekerjaan baharu yang mempunyai peruntukan mewajibkan vaksin ini.

“Kontrak ini tidak boleh dicabar di mahkamah kerana ia adalah kontrak persendiri­an di antara dua belah pihak iaitu majikan dan pekerja,” katanya.

Beliau berkata, majikan juga mempunyai hak mengikut Seksyen 15 dan 16 AKKP untuk melindungi pekerja yang sudah menerima vaksin dengan memastikan tempat kerja adalah selamat untuk semua.

Beliau berkata, akta itu juga memperuntu­kkan kuasa seorang pegawai keselamata­n dan kesihatan yang dilantik untuk memastikan tempat kerja adalah selamat.

Katanya, pegawai yang dilantik perlu memainkan peranan membuat dasar keselamata­n dan kesihatan tempat kerja yang perlu dipatuhi oleh semua pekerja.

Menurutnya, kerajaan juga boleh meminda akta sedia ada kerana mengikut Perlembaga­an Persekutua­n, ia boleh menggubal undang-undang yang bersifat diskrimina­tif atas alasan keselamata­n dan kesihatan awam di bawah Perkara 9(3) Perlembaga­an.

Katanya, pindaan itu bagaimanap­un memerlukan undi majoriti ahli Dewan Rakyat untuk diluluskan.

Peguam, Fahmi Abdul Moin, pula berkata walaupun tiada peruntukan memberi kuasa kepada majikan mewajibkan pekerja divaksin, asas utama sektor pekerjaan ialah majikan wajib memastikan keselamata­n dan kesihatan dirinya dan orang lain di tempat kerja.

Beliau berkata, ia jelas dinyatakan mengikut Seksyen 24 AKKP dan di dalam mana-mana sektor, setiap majikan akan menyediaka­n perjanjian pekerjaan membabitka­n terma yang wajib diikuti oleh pekerja sebelum menerima mereka.

Katanya, kedua-dua pihak harus sedia maklum berhubung terma dan syarat yang ditetapkan apabila menjalanka­n urusan dalam sektor di tempat mereka bekerja.

“Secara asasnya, setakat hari ini, tiada peruntukan undangunda­ng yang mewajibkan manamana individu untuk menerima suntikan vaksin.

“Akta 342 (Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1998) tidak meletakkan kesalahan kepada orang yang enggan menerima vaksin COVID19 dan tidak termaktub kepada satu kesalahan jenayah. Penerimaan vaksin mestilah secara sukarela dan tiada unsur paksaan,” katanya.

Fahmi berkata, bagaimanap­un jika ada pekerja yang enggan divaksin dan perbuatan itu boleh mendedahka­n pekerja lain terhadap wabak, majikan perlu mengambil tindakan tegas dengan memberi surat tunjuk dan jika masih enggan, tindakan buang kerja boleh dilakukan.

Bagaimanap­un katanya, ia harus mengikut lunas undangunda­ng yang ditetapkan oleh Jabatan Sumber Manusia atau undang-undang buruh.

 ??  ?? Muhammad Umar Abdul Razak
Muhammad Umar Abdul Razak

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia