Berita Harian

Waspada fenomena kepala air berulang

-

Sik: Penduduk sekitar kaki Gunung Jerai diminta berhati-hati kemungkina­n fenomena kepala air berulang di kawasan terbabit berikutan cuaca hujan lebat ketika ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, hujan lebat di puncak gunung dan kawasan sekitar boleh menyebabka­n limpahan di puncak dan airnya turun ke kawasan sungai di bawah.

“Saya ada melihat video tular berlaku limpahan air di Yan, hari ini (semalam) disebabkan di puncak gunung menakung air hujan yang banyak.

“Kejadian kepala air pada 18 Ogos lalu menyebabka­n dasar sungai menjadi lebih cetek, jadi air turun dari puncak melimpah sedikit ke kawasan sekitar,” katanya selepas Majlis Pelancaran Pengaturan Pasaran Buah-buahan Tempatan ke Lembah Klang, di sini, semalam.

Semalam, tular video berdurasi 30 saat mengenai limpahan air berlaku di jalan ke Pusat Rekreasi Titi Hayun akibat fenomena kepala air.

Sanusi berkata, penduduk sekitar Yan diminta sentiasa menjaga keselamata­n serta kerap mengikuti perkembang­an ramalan cuaca.

Beliau berkata, penduduk perlu mengikut arahan pihak berkuasa sekiranya terdapat amaran hujan lebat dan banjir.

“Jabatan Meteorolog­i Malaysia meramalkan Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Sarawak dijangka mengalami hujan lebat sehari dua ini, jadi berhati-hatilah.

“Saya faham penduduk masih trauma dengan kejadian fenomena kepala air, dua minggu lalu.

“Kita ada pasukan keselamata­n yang bersiap sedia di sana, jadi penduduk diminta sentiasa berjaga-jaga,” katanya.

Pada 18 Ogos lalu, enam mangsa terkorban dalam kejadian banjir susulan tragedi kepala air dari Gunung Jerai dengan banjir lumpur turut menjejaska­n 800 rumah di Yan dan 200 rumah di Kuala Muda.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia