Berita Harian

4 beranak rentung dalam kebakaran dipercayai gagal buka mangga jeriji

Mangsa dipercayai gagal buka mangga kunci jeriji kecemasan

- Oleh Juwan Riduan bhnews@bh.com.my

Empat beranak yang rentung dalam kebakaran di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Hungap, di sini, awal pagi semalam dipercayai gagal membuka mangga kunci di jeriji kecemasan pada tingkap untuk menyelamat­kan diri.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Md Ali Ismail, berkata tiga mayat mangsa ditemukan di bilik tingkat atas berhampira­n tingkap manakala seorang lagi mangsa ditemukan dalam bilik air berhampira­n bilik berkenaan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai bermula dari tingkat bawah rumah itu.

“Keempat-empat mangsa berkenaan dipercayai sedar kebakaran itu, namun gagal untuk menyelamat­kan diri kerana tidak dapat membuka mangga yang dipasang pada jeriji berkenaan.

“Apabila dalam keadaan panik, besar kemungkina­n mangsa akan lupa di mana meletakkan kunci untuk membuka jeriji kecemasan tingkap berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian di sini, semalam.

Mangsa dikenal pasti sebagai Matthew Wong, 50; dan dua anaknya Brendan Wong, 18, serta Eric Wong, 15, ditemukan di bilik tingkat atas berhampira­n jeriji tingkap kecemasan, manakala isterinya Jecky Vun Kon Fung, 48, di dalam bilik air berhampira­n bilik berkenaan.

Dalam kejadian itu, JBPM Sabah menerima panggilan pada jam 2.52 pagi, sebelum berjaya mengawal kebakaran pada jam 3.40 pagi dan operasi di lokasi kejadian ditamatkan pada jam 6.10 pagi.

Md Ali berkata, dua daripada tiga mangsa yang rentung ditemui dalam keadaan berpelukan.

Katanya, bahagian forensik JBPM akan dibantu oleh unit anjing pengesan (K9) untuk mengenal pasti punca kebakaran berkenaan.

 ??  ??
 ?? (Foto Juwan Riduan/bh) ?? Anggota bomba memadam kebakaran di Taman Hungab, Jalan Nosob, Penampang pagi semalam.
(Foto Juwan Riduan/bh) Anggota bomba memadam kebakaran di Taman Hungab, Jalan Nosob, Penampang pagi semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia